Rabu, 21 Julai 2010

KSSB anjur taklimat perjelas isu pasir

Nazri Abdullah

SHAH ALAM: Syarikat milik penuh Kerajaan Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) akan mengadakan taklimat kepada pihak media mengenai industri perlombongan pasir di Selangor.

Taklimat tersebut dibuat ekoran pelbagai pertikaian dan dakwaan negatif dilemparkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat negeri itu berhubung isu perlombongan pasir.

Program taklimat dan lawatan ke tapak perlombongan pasir itu akan diadakan pada hari Sabtu, 24 Julai ini bermula jam 8.30 pagi hingga 3 petang.

Menurut surat jemputan yang dihantar kepada media, program sehari tersebut bertujuan mendedahkan media secara lebih mendalam industri pasir di Selangor.

Petugas media turut akan dibawa melawat tapak perlombongan pasir haram di samping tapak yang diberi permit.

KKSB sebelum ini dikritik hebat berhubung isu perlombongan pasir di Selangor termasuk dakwaan monopoli lesen lombong pasir dan isu bonus kakitangan yang tinggi.

Isu tersebut juga telah membawa kepada pendengaran awam tiga hari oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) sebelum ini.

Sementara itu, Selangor telah mengeluarkan permit melombong pasir kepada 158 syarikat dan individu dari 2005 hingga 2007.

Daripada jumlah itu, sebanyak 49 permit telah dikeluarkan pada 2005, 2006 (48) dan 2007 (61).

Permit-permit tersebut dikeluarkan oleh enam Pejabat Tanah iaitu Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang, Kuala Selangor, Petaling, Hulu Selangor dan Gombak.

Tiada ulasan: