Sabtu, 10 Julai 2010

Kritikan mengasak Tian Chua sarat dada Sin Chew

Lim Hong Siang



Lebih daripada 10 rencana disiarkan Sin Chew Daily dalam tempoh tiga hari untuk mengasak Tian Chua, Pengarah Strategi PKR yang mengumumkan "boikot lembut" (no favour) terhadap akhbar Cina yang terlaris di Malaysia ini pada 5 Julai 2010. Rencana-rencana ini disiarkan pada ruang kolum dan surat pembaca, tidak termasuk kenyataan rasmi oleh Sin Chew, dan laporan-laporan berita yang memetik kritikan terhadap Tian Chua.

Dalam berita yang disiarkan pada 7 Julai, Sin Chew memetik kenyataan Presiden MCA, Chua Soi Lek yang membidas Tian Chua kerana "cakap tak serupa bikin", malah melanjutkan kritikan terhadap pemimpin pembangkang kerana sering berkontradiksi antara hujah dengan tindakan mereka.

Juga, Ketua Pemuda Gerakan, Lim Si Pin, yang juga calon BN yang menentang Tian Chua di kawasan parlimen Batu semasa PRU ke-12, dipetik mengkritik Tian Chua kerana mengamalkan "double standard", yang sukar diterima. Bukan itu sahaja, ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang lompat parti dari PKR juga dipetik untuk menuduh Tian Chua sebagai "little Napoleon", malah mendakwa bahawa tindakan "memulau Sin Chew" ini merugikan PKR, kerana akhbar ini memperuntukkan ruang yang besar kepada PKR selama ini.

Kritikan terhadap Tian Chua dilanjutkan pada 8 Julai, apabila pemimpin barisan kedua dan ketiga, Pemuda MCA bangkit untuk melontarkan kritikan. "Pakatan Rakyat tidak layak mendakwa diri mempertahankan kebebasan akhbar"-- demikianlah tajuk yang dibubuh apabila memetik kenyataan Timbalan Ketua Pemuda MCA Selangor, yang membidas bahawa Tian Chua sebagai pemimpin PR, tidak layak untuk membicarakan kebebasan akhbar berikutan tindakan boikot ini.

"Kebudak-budakan", "tidak rasional", "(Tian Chua) sepatutnya menghormati profesional wartawan", "Tian Chua tidak membela kebebasan media" dan sebagainya, dipetik dari mulut pemimpin parti komponen BN, untuk dilontarkan terhadap Tian Chua.

Tian Chua yang dibadai ombak kritikan mengeluarkan satu kenyataan, disiarkan pada 7 Julai, berbunyi "sebagai orang awam, saya sudi menerima kritikan daripada masyarakat". Beliau menekankan ada bezanya antara kebebasan media dengan laporan yang berniat jahat, malah tiada kaitan dengan "hak pembaca untuk mengetahui" dalam kes ini.

Sin Chew: Membela Hak Mengetahui

Tian Chua berkata demikian sebagai responnya kepada kenyataan rasmi Sin Chew, yang mempertahankan laporan "Khalid bakal letak jawatan Menteri Besar?" dengan alasan membela hak pembacanya untuk mengetahui. Malah, Sin Chew cuba menyamakan "boikot lembut" Tian Chua ini dengan "tindakan pihak berkuasa terhadap China Press berikutan laporan perletakan jawatan Ketua Polis Negara" (yang berlaku sebelum ini) dari segi motifnya, biarpun melalui pendekatan yang berbeza.

Meskipun Sin Chew mengakhiri kenyataan tersebut dengan mendakwa akhbarnya tidak akan mengulas lanjut isu ini, tetapi rencana dari editor dan pembaca tetap membanjiri ruang dada akhbar ini. Malah, "keseorangan" Tian Chua ditonjolkan dengan jelas, apabila Sin Chew memetik EXCO Senior Selangor Teresa Kok (DAP), Ketua Publisiti DAP Tony Pua dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor, Hee Loy Sian yang menafikan cadangan dan keputusan "boikot Sin Chew".

Dalam ruang surat pembaca pada 8 Julai, Editor MySinChew Thomas Lee Seng Fook mendesak Tian Chua untuk meminta maaf, malah menganggap pimpinan PKR harus mengambil tindakan disiplin terhadapnya. Menurut Thomas Lee, tindakan Tian Chua bercanggah dengan prinsip "mempertahankan kebebasan akhbar" yang didukung oleh PR, malah mendesak Tian Chua untuk menarik balik kenyataan "boikotnya", dan meminta maaf kepada Sin Chew.

Lebih-lebih lagi, satu tulisan berjudul "Dah lupakah, Tian Chua?", penulis memperingatkan Tian Chua, "Pertama, ketika anda ditangkap, akhbar mana yang memberi liputan terbanyak kepadanya? Kedua, jikalau tanpa akhbar Cina, terutamanya akhbar Cina yang paling berpengaruh, Sin Chew Daily yang memberikan liputan yang begitu luas kepada calon PKR, mampukah Pakatan Rakyat mendapat sokongan orang Cina yang begitu banyak dalam PRU ke-12?"

Apakah maksud tersirat yang cuba disampaikan di sini berbunyi - Tian Chua tidak mengenang budi? Apa yang pasti, "kebebasan akhbar", "hak mengetahui", "tugas media untuk memantau kerajaan" telah dijadikan sebagai alasan yang dilontarkan untuk menjustifikasikan laporan ramalan "Khalid bakal letak jawatan Menteri Besar?".

BN tidak pernah guna cara zalim-boikot

Lebih menarik, dalam satu tulisan berjudul "Cakap tak serupa bikin" yang disiarkan dalam ruang surat pembaca pada 9 Julai, penulis menyifatkan tindakan Tian Chua sebagai cara kotor untuk menyerang kredibiliti Sin Chew. Malah, penulis ini mendakwa "pemimpin kerajaan BN yang suka mempersalahkan media, tidak pernah menggunakan tindakan boikot yang zalim terhadap media setakat ini".

Penulis ini menyimpulkan bahawa PKR telah menelanjangkan "sifat asalnya" yang "cakap tak serupa bikin".

Desakan terhadap Sin Chew bukan sahaja dilakukan dalam ruang dada akhbarnya yang berbahasa Cina, malah dalam laman webnya yang berbahasa Inggeris. Sin Chew meletakkan isu ini sebagai isu yang paling hangat, dengan tajuk "Kebebasan Akhbar dalam bahaya" (Press Freedom at Stake), yang menyarat 21 artikel setakat ini.

Tiada ulasan: