Ahad, 11 Julai 2010

Konsensus Bebas nafi terlibat dalam program UMNO Selangor | Jul 10, 2010 07:42:04 pm

MERDEKA REVIEW



Konsensus Bebas merujuk kepada laporan akhbar internet The Malaysian Insider bertarikh 8 Julai 2010 bertajuk "Umno Selangor: Zahrain, Zul Noordin antara sertai roadshow" dan akhbar cetak The Star bertarikh 9 Julai 2010, berhubung dakwaan UMNO Selangor bahawa Zahrain Mohamed Hashim dan Zulkifli Noordin, ahli Parlimen Konsensus Bebas akan menyertai "roadshow" anjuran UMNO Selangor.

Laporan tersebut memetik Ketua Penerangan UMNO Selangor sebagai berkata bahawa dua anggota Konsensus Bebas akan menyertai program jelajah UMNO Selangor untuk mendedahkan "sandiwara" Pakatan Rakyat. Laporan tersebut juga menggambarkan seolah-olah Ahli Parlimen Konsensus Bebas adalah pro-BN.

Bagi mengelakkan spekulasi, fitnah dan kekeruhan politik, Konsensus Bebas ingin membuat pembetulan mengenai laporan tersebut.

Konsensus Bebas menafikan sama sekali penglibatan ahli-ahli Parlimen Konsensus Bebas dalam program jelajah yang dianjurkan oleh UMNO Selangor.

Konsensus Bebas adalah satu wadah politik bebas yang dianggotai oleh lima ahli Parlimen bebas untuk membentuk satu blok suara parlimen yang efektif, relevan, bebas serta pro-rakyat. Konsensus Bebas tidak akan menyebelahi mana-mana pihak, baik parti kerajaan mahupun parti pembangkang.

Konsensus Bebas akan sentiasa berpendirian bebas berasaskan kepada aspirasi rakyat dan negara. Jika dirujuk kepada perbahasan atau pendirian-pendirian kami di Parlimen, adalah sangat jelas bahawa Ahli-Ahli Parlimen Konsensus Bebas bukan hanya mengkritik pembangkang malahan juga mengkritik dasar-dasar kerajaan yang salah dan tidak menguntungkan rakyat.

Oleh yang demikian, Konsensus Bebas meminta semua pihak untuk memberi peluang kepada Ahli Parlimen Konsensus Bebas untuk berbakti dan berkhidmat kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen.

Terima kasih.

*Kenyataan media pada 9 Julai 2010, oleh Zahrain Mohamed Hashim (Ahli Parlimen Bayan Baru), Wee Choo Keong (Ahli Parlimen Wangsa Maju), Tan Tee Beng (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Zulkifli bin Noordin (Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Ahli Parlimen Bagan Serai).

Tiada ulasan: