Selasa, 20 Julai 2010

K'jaan ambil tindakan drastik jamin keselamatan

BERNAMA


Kerajaan akan mengambil pelbagai tindakan drastik bagi memastikan keadaan keselamatan negara terkawal dan membendung sebarang aktiviti ancaman pengganas dari berlaku di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain di negara lain, pergerakan pengganas yang telah dikenalpasti itu sentiasa dipantau supaya mereka dapat ditahan sebelum bertindak.

"Saya tidak fikir ini sesuatu yang kita perlu beri perhatian dan bimbang. Saya rasa ini terkawal dan kes individu yang membabitkan pengganas, sama ada ia berupa Islam atau dalam bentuk militan lain, saya kendalikan sendiri.

"Saya akan pastikan bahawa kes ini bukan pada tahap yang boleh menimbulkan panik kerana jika tidak, kita akan mengambil tindakan yang lebih drastik berdasarkan isu keselamatan," katanya.


Beliau berkata demkian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI NAA) Bahagian Asia Pasifik ke-13 selama lima hari bermula di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Presiden FBI Nations Academy, Kim Derry, Timbalan Pengarah Operasi Antarabanga FBI, Joseph Demarest dan Presiden Persidangan yang juga Komandan Maktab PDRM, Datuk Shahbudin Abd Wahab.

Hisha

mmuddin diminta mengulas mengenai ancaman pengganas di negara ini termasuk penahanan rakyat tempatan dan asing baru-baru ini yang dipercayai anggota kumpulan Jemaah Islamiah.

Difahamkan kesemua mereka termasuk seorang remaja lelaki berumur 17 tahun ditahan dan kemudiannya dibebaskan kecuali seorang individu yang identitinya enggan didedahkan dan masih lagi dalam siasatan.

"(Ancaman pengganas) berlaku di seluruh dunia, lagi muda lagi senang mereka di rekruit...kita perlu pantau semua dan setiap orang jika mengenai keselamatan dan kepentingan nasional, negara dan rantau. Kita bekerja rapat dengan rakan kita," katanya.

Warna eksklusif

Mengenai permohonan PDRM untuk menjadikan biru sebagai warna eksklusif uniform anggota pasukan itu pada masa akan datang, beliau berkata beberapa aspek teknikal termasuk mengazetkan warna dan cara persembahan uniform perlu diberikan keutamaan.

"Ini supaya tidak timbulnya kekeliruan dengan agensi lain dan memastikan kehadiran PDRM (dengan pelaksanaan warna biru) menjadi satu aspek penting untuk mengurangkan lagi kadar jenayah selain mewujudkan rasa selamat kepada orang ramai.

"(Ke

lak) PDRM akan lebih dihormati dan diiktiraf apabila semangat keselamatan itu wujud secara sendiri apabila memakai baju warna itu," katanya.

Laporan akhbar sebelum ini memetik Pengarah Pengurusan dan Latihan Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene yang mahukan supaya biru dijadikan warna eksklusif PDRM kerana kini banyak agensi lain menggunakan warna yang sama sehingga mengelirukan orang ramai.

Hishammuddin berkata kelulusan permohonan PDRM itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kerjasama agensi yang lain, yang telah menggunakan biru sebagai warna uniform mereka.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan akan wujudnya satu persefahaman atau kata putus yang membolehkan PDRM menggunakan warna terbabit.

Beliau juga berkata permohonan warna biru eksklusif untuk PDRM masih lagi dalam perbincangan dan penelitian kementerian sebelum ia boleh diluluskan.

Persidangan itu yang disertai 200 peserta, antara lain akan membincangkan isu kerjasama antarabangsa bagi menangani keganasan dan memperdagangkan manusia di rantau ini.


Tiada ulasan: