Sabtu, 10 Julai 2010

Kit Siang: Di Mana Laporan Khas Operasi SPRM ?

TV SELANGOR


Penasihat DAP, Lim Kit Siang mencabar Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah supaya membentangkan laporannya mengenai operasi tahun pertama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Parlimen Isnin ini.

"Lebih sebulan lalu dan sebelum bermulanya sidang Parlimen sekarang, pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Rasuah, Datuk Radzi Sheikh Ahmad, meminta laporan itu dibahaskan di Parlimen," kata Lim dalam satu kenyataan semalam.

Beliau yang juga ahli parlimen Ipoh Timur memetik Radzi sebagai berkata, langkah membenarkan laporan itu dibahaskan di Parlimen merupakan satu perkembangan yang sihat ke arah memperbaiki prestasi SPRM.

Menurut Akta SPRM, jawatankuasa khas itu mengemukakan laporan tahunannya kepada perdana menteri yang kemudian akan membentangnya di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, tidak ada tanda-tanda laporan itu akan dibahaskan dan ini bertentangan dengan komitmen untuk mencapai NKRA (bidang keberhasilan utama negara), kata Lim sambil menambah bahawa laporan tersebut perlu dibahaskan kerana salah satu sasaran NKRA ialah "membasmi rasuah, terutama rasuah besar".

Menurutnya, lebih 18 bulan telah berlalu sejak penubuhan SPRM manakala kepercayaan masyarakat terhadap suruhanjaya itu serta
kempennya membasmi rasuah di kalangan pegawai tinggi, juga semakin terhakis.

Lim berkata, kontroversi berhubung kematian Teoh Beng Hock terus menjadi faktor utama mengapa rakyat belum yakin dengan kebebasan, integriti dan profesionalisme SPRM.

Katanya, begitu jua dengan banyak lagi kes-kes yang belum diselesaikan, yang turut menghakis keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya tersebut.

Contohnya, kata Lim ialah skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), sikap tidak menentu SPRM dalam mengambil kenyataan penyiasat persendirian P Balasubramaniam di London, kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan dakwaan berhubung kekayaan luar biasa ketua menteri Sarawak. -malaysiakini

Tiada ulasan: