Khamis, 1 Julai 2010

Khairy mahu KDN siasat Suara Perkasa desak Ka Siong ditahan ISA

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mahu Kementerian Dalam Negeri menyiasat Suara Perkasa, terbitan Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali, kerana menerbitkan rencana sulungnya meminta rakan sejawatan beliau dari MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya merasakan bahawa jika benar laporan muka depan Suara Perkasa keluaran hari ini menggesa Wee ditahan di bawah ISA, maka saya merasakan Kementerian Dalam Negeri dengan serius wajar melihat perkara ini.

“Tindakan ini tidak betul, anda tidak harus menyiarkan kenyataan-kenyataan macam ini. Saya serius, tidak bergurau,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Saya merasakan adanya perbezaan ideologi antara saya dan ketua Perkasa Datuk Ibrahim Ali. Saya tidak bersetuju dengan Perkasa,” kata beliau sambil menambah, Perkasa tidak harus menghasut suasana yang tegang.

“Saya tidak membela Ka Siong, Perkasa tidak boleh menghasut ketegangan,” katanya.

Edisi sulung Suara Perkasa, akhbar Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia muncul “garang” hari ini dengan tajuk “Tahan Ka Siong di bawah ISA” – laporan yang merujuk kepada Timbalan Menteri Pelajaran yang menjadi sasaran kecaman NGO itu minggu lalu.

Ibrahim sebelum ini memanggil Wee “biadap” dan menuduh beliau mempersoalkan kontrak sosial, yang menyebabkan pertengkaran antara dua pemimpin berkenaan.

Khairy juga minggu lalu melabelkan Ibrahim “gedebe politik”, pertikaman lidah yang berpanjangan dengan Ibrahim mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana mempertahankan Wee.

“Perkasa mahu kerajaan menahan Wee Ka Siong di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri),” kata Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Abu Bakar ketika memperkenalkan edisi sulung “Suara Perkasa” kepada wartawan semalam.

Wee sebelum ini dilaporkan meminta supaya program biasiswa Mara kepada pelajar Bumiputera perlu dimasuhkan bersama dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Wee membuat kenyataan itu sebagai respons kepada keputusan kerajaan yang mahu memansuhkan sebanyak 1,500 biasiswa JPA.

Wee merupakan antara pemimpin terbaru menjadi sasaran kecaman Perkasa, NGO yang ditubuhkan akhir 2008 susulan landskap politik negara selepas tsunami politik Mac 2008.

Dijual dengan harga RM2 senaskah, akhbar itu dibiayai Media Perkasa Sdn Bhd dan modal permulaan berjumlah RM500,000.

Tiada ulasan: