Selasa, 6 Julai 2010

Kesatuan KTMB piket petang esok

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Cadangan Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) untuk mengadakan piket esok bagi membantah penubuhan ET Sdn Bhd (ET) sebagai pengendali perkhidmatan tren elektrik (ETS), akan tetap diteruskan.

Presiden KPPKTMB Abdul Razak Md Hassan berkata piket itu akan tetap diteruskan kerana mendakwa tiada tindakan diambil oleh Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan untuk berjumpa dengan pihaknya berbincang isu tersebut.

“Sebelum ini, saya ada menjemput beliau (Aminuddin) untuk berdebat secara terbuka mengenai hal (piket) tersebut, tetapi beliau (Aminuddin) tidak melayan jemputan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Justeru beliau berkata, selain membantah penubuhan ET Sdn Bhd (ET) sebagai anak syarikat untuk mengendalikan ETS, kesatuan juga mahu Aminuddin meletak jawatan sebagai presiden.

Kepada soalan mengapa kesatuan menolak langkah itu, beliau mendakwa langkah itu akan menyebabkan faedah kesihatan pekerja dikurangkan, kehilangan elaun-elaun, jumlah cuti berkurangan dan sewa kuarters akan dinaikkan.

Katanya kira-kira 500 pekerja dijangka menyertai piket selama sejam di perkarangan ibu pejabat KTMB di Jalan Hishamuddin di sini, esok manakala satu lagi piket dirancang diadakan di 10 cawangan di seluruh negara pada 21 Julai. Kesatuan itu mempunyai 3,600 anggota.

Aminuddin sebelum ini memberitahu Bernama bahawa penubuhan ET dilihat antara pelan transformasi dalam memastikan KTMB lebih berdaya saing, mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif, budaya kerja dan disiplin yang lebih cemerlang.

Katanya, penubuhan secara berasingan ET juga dapat menjamin pengukuhan anak syarikat tersebut daripada segi kewangan, dan memudahkan proses peminjaman serta pembinaan prasarana baharu, dan secara tidak langsung dapat menyumbang ke arah baik pulih KTM.

Beliau yakin piket itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan kereta api kerana tidak sampai 10 peratus kakitangan KTMB akan terlibat dalam piket itu dan menurutnya semua unit di bawah KTMB telah memberi komitmen mereka tidak akan membuat sesuatu yang boleh menjejaskan perkhidmatan.

Tiada ulasan: