Isnin, 26 Julai 2010

Kes tanah wakaf Chenderong ditangguh, defendan mahu kes didengar tertutup

KUALA TERENGGANUi — Kes tuntutan mencabar status konsesi tanah wakaf Chenderong melibatkan lebih 25,000 hektar, keluasannya hampir sama dengan bahagian pulau negeri Pulau Pinang, ditangguhkan sehingga akhir Januari 2011.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini membuat keputusan atas alasan pihak peguam defendan dan defendan iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu belum bersedia untuk mengikuti prosiding.

Prosiding sepatutnya berlangsung hari ini dan esok.

Selain itu, mahkamah memutuskan demikian ekoran permohonan ex-parte peguam defendan Faridah Yusof agar media dilarang menyiarkan prosiding mahkamah manakala plaintif dan peguam mereka juga dilarang bercakap kepada media mengenai perjalanan kes.

Mahkamah juga akan mendengar permohonan inter-parte peguam defendan agar kes ini didengar secara tertutup.

Kes didengar oleh Hakim Shaikh Ahmad Ismail.

Perbicaraan ini menarik perhatian kerana iadilihat sebagai kes pertama melibatkan tanah wakaf tunggal terluas di negara ini iaitu 25,379.23 hektar.

Tanah itu yang dikurniakan oleh Sultan Terengganu Almarhum Sultan Zainal Abidin III kepada anakanda perempuan Tengku Nik Maimunah dan suaminya, Tengku Ngah Omar Abdul Rahim pada Mac 1906, dijadikan tanah wakaf pada 1961.

Tuntutan kes difailkan pada Disember 2008 dan selepas beberapa peringkat bantahan awal.

Hakim Shaikh Ahmad memutuskan beliau akan membenarkan permohonan ex-parte untuk melarang media melaporkan kes ini selepas menerima dan meluluskan draf perintah daripada defendan kemudian.

Mahkamah dimaklumkan bahawa pihak defendan bersedia untuk prosiding apabila perintah ex-parte itu dikeluarkan.

Bagaimanapun ia dibantah oleh pasukan plaintif.

Faridah memberitahu mahkamah beliau akan menyerahkan draf dalam waktu terdekat, dipercayai esok untuk diteliti mahkamah.

Permohonan Kamar Ainiah untuk hakim menukar permohonan injuksi ex-parte menjadi inter-parte ditolak.

Faridah yang ditemui selepas sidang mahkamah berkata media tidak boleh membuat liputan sehingga kes selesai.

Katanya, media boleh mendapatkan butiran kes apabila keputusan diterbitkan oleh Malayan Law Journal.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan kandungan ex-parte.

“Media ada tugas untuk melaporkan prosiding kerana ia membabitkan kepentingan awam,” kata Kamar Ainiah.

Kamar Ainiah Kamaruzaman bersama (paling kiri) dan Pawancheek Marican (lima dari kiri) bersama salah seorang plaintif Tengku Zainal Akmal Tengku Besar Mahmud (tiga dari kanan) dan waris tanah wakaf Chenderong di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini.
Kamar Ainiah memberitahu mahkamah bahawa media patut dibenarkan untuk membuat liputan dan jika ada pelanggaran pihak defendan boleh mengambil tindakan sivil terhadap mereka.

“Termasuk saya, saya sudah 25 tahun berkhidmat sebagai peguam, ambil tindakan jika saya langgar kod etika guaman,” katanya.

Sambil merujuk kepada kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa, Kamar Ainiah berkata media melaporkan dengan panjang lebar prosiding tanpa sekatan mahkamah.

Mahkamah akan mengambil tindakan hanya jika ada pelanggaran keterlaluan.

Apabila Faridah membangkitkan bahawa laporan The Malaysian Insider mengenai kes ini pada 23 Julai lalu telah menggugat dan mengaibkan defendan, Kamar Ainiah berkata media bebas untuk akses kepada mana-mana penyata tuntutan dan jawapan yang merupakan dokumen awam.

Faridah mendakwa The Malaysian Insider telah memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong dengan memetik baginda sebagai salah seorang waris.

Mengenai isu ini, Kamar Ainiah berkata baginda hanya seorang waris dalam tanah wakaf Chenderong dan ia juga satu fakta kes.

Peguam defendan juga meminta kes ini dibuang atas alasan dua plaintif tidak mewakili semua waris dan meminta Hakim Shaikh Ahmad digantikan dengan hakim lain.

Bagaimanapun Kamar Ainiah membantah permohonan itu atas alasan ia tindakan menghina mahkamah kerana enggan mematuhi perintah Mahkamah Rayuan.

Kata beliau, Mahkamah Rayuan pada 8 Jun lalu telah menolak permohonan yang serupa, di mana mahkamah juga telah mengarahkan perbicaraan diteruskan di hadapan hakim yang sama.

Hakim kes berkata beliau tidak mahu meneruskan prosiding hari ini dalam suasana tidak tenang dan bertanya kepada defendan bila mereka bersedia untuk menghadapi prosiding.

Kemudian hakim menetapkan 23 dan 24 Januari depan sebagai tarikh baru perbicaraan.

“Saya bersedia bila-bila masa, kalau ada peguam yang tidak bersedia, apa saya boleh buat,” kata hakim.

Kamar Ainiah berulang kali menekankan bahawa pihaknya bersedia untuk prosiding hari ini dengan semua kertas kusa telah sedia ada.

“Kalau defendan tak bersedia itu hal mereka, mahkamah kena berlaku adil dengan meneruskan prosiding hari ini,” katanya.

Faridah juga meminta mahkamah tidak mengadakan prosiding pada hari Ahad atas alasan jika media membuat laporan ‘menjejaskan’ kepentingan defendan pada mana-mana hari Jumaat atau Sabtu, pihaknya tidak boleh melakukan apa-apa tindakan susulan sebelum hari perbicaraan.

Kes ini dibawa selepas pewaris konsesi tanah wakaf Chenderong ini, yang terletak di sempadan Kemaman dan Kuantan, meluahkan rasa kesal terhadap cara Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu menguruskan tanah tersebut.

Jumlah pewaris dianggarkan 462 orang, yang hampir kesemuanya merupakan anggota kerabat diraja negeri Terengganu.

Kira-kira 70 waris hadir untuk mendengar prosiding hari ini dan mereka kelihatan kecewa apabila kes ditangguhkan.

Beberapa waris kelihatan mengeluh, antaranya ada yang berkata “tangguh lagi... tahun depan pula”, apabila mendengar keputusan hakim menangguhkan perbicaraan.

Salah seorang pewaris tanah wakaf ini ialah Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Sultan Terengganu.

Plaintif memohon mahkamah membuat deklarasi bahawa kesemua transaksi berhubung tanah wakaf Chenderong oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu adalah tidak sah di bawah hukum syarak.

Kes ini kali pertama difailkan pada Disember 2008 berdasarkan Seksyen 18(1) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.

Tiada ulasan: