Khamis, 15 Julai 2010

Kes Jual Bayi: Tiga Lagi 'Diselamatkan'

KUCHING: Tidak sampai 48 jam selepas menyelamatkan bayi berusia tiga minggu, polis berjaya 'menyelamatkan' pula tiga lagi kanak-kanak dalam kes disyaki penyeludupan bayi.

Bayi perempuan berusia 27 hari dan dua kanak-kanak lelaki masing-masing berusia tujuh dan 35 bulan - ditemui dalam sebuah kediaman yang diserbu pagi Rabu.

Seorang ahli perniagaan terkenal dan isterinya telah diarahkan tampil memberi kenyataan bersama-sama lima yang lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner II Huzir Mohamed berkata, ketiga-tiga bayi berkenaan mempunyai dokumen sah.

"Kesemua kanak-kanak berkenaan mempunyai sijil kelahiran dan Jabatan Pendaftaran Negara telah pun mengesahkan perkara itu.

"Bagaimanapun, kami mahu memastikannya dan akan menjalankan ujian DNA untuk menentukan sama ada pasangan ditahan adalah ibu bapa kandung bayi berkenaan," katanya sambil menambah, pasangan itu akan dibebaskan sekiranya disahkan demikian.

Menurut Huzir, siasatan awal mendedahkan bayi berusia 27 tahun itu didaftar oleh satu pasangan manakala dua kanak-kanak lelaki berkenaan pula didaftarkan oleh pasangan lain.

Kedua-dua pasangan berkenaan dan seorang lagi lelaki yang berada di tempat kejadian turut dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.

"Kami masih menyiasat sama ada jenayah telah dilakukan. Kita perlu menyiasat dan menunggu hasil ujian DNA untuk menentukan sama ada terdapat hubung kait antara kesemua suspek berkenaan," katanya.

Berkenaan penglibatan ahli perniagaan dan isterinya itu, Huzir berkata, pasangan tersebut hadir secara sukarela untuk menjelaskan isu tertentu.

Malam Isnin, polis menyelamatkan bayi perempuan berusia 23 hari di Batu Kawah dan menahan lelaki tempatan dan wanita Indonesia yang disyaki sedang cuba menjual bayi berkenaan. Bayi tersebut tidak memiliki sebarang dokumentasi.

Wanita berkenaan kini ditahan mengikut Akta Imigresen selama 14 hari untuk membantu siasatan, sementara bayi terbabit telah dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri untuk tindakan lanjut.

Tiada ulasan: