Sabtu, 24 Julai 2010

Kes Jual Bayi : Datuk Dan Isteri Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

BERNAMA

KUCHING: Lapan suspek termasuk ahli perniagaan bergelar "Datuk" dan isterinya yang ditahan reman berhubung dakwaan terbabit dalam sindiket jual bayi, dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat.

Datuk berusia 65 tahun dan isterinya berumur 43 tahun serta empat anggota keluarganya dan dua rakan mereka, berumur antara 24 hingga 40 tahun, dibebaskan pagi ini selepas tempoh reman mereka tamat pada Jumaat.

Datuk itu dan isterinya serta empat anggota keluarga ditahan di rumah mereka di Jalan Stampin Tengah Rabu lepas manakala dua lagi dipercayai rakan kepada Datin, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Indonesia, masing-masing ditahan di Green Height dan Batu Kawa Khamis lepas.

Bagaimanapun perintah tahanan reman terhadap lelaki berumur 46 tahun iaitu sepupu kepada Datin dilanjutkan sehingga Isnin depan oleh Majistret Nelson W. Angang.

Pendaftar Mahkamah Abdul Razak Isnawi turut melanjutkan tempoh tahanan reman dua beradik perempuan warga Indonesia, berusia 22 dan 19 tahun kepada tujuh hari lagi.

Dua beradik itu ditahan di sebuah rumah di Batu Kawa Jumaat lepas dan polis menemui seorang kanak-kanak lelaki berumur empat tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun dalam rumah itu.

Dipercayai rumah itu digunakan sebagai pusat transit sebelum bayi itu dijual.

Sementara itu, seorang jurugambar media ditolak dan diugut oleh anggota keluarga Datuk berkenaan semasa jurugambar itu cuba merakamkan gambar Datuk itu dan tujuh yang lain sebelum mereka meninggalkan kompleks mahkamah pagi ini.

Sejumlah 17 orang telah direman berhubung sindiket jual bayi itu mengikut Akta Antipermerdagangan Orang 2007.

Bagaimanapun, sepasang suami-isteri dan pemandu Datuk itu yang turut ditahan berhubung kes itu dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Semalam, tahanan reman seorang lelaki berumur 53 tahun, dipercayai orang yang membekalkan bayi itu, dilanjutkan ke Isnin depan dan tahanan reman seorang wanita warga Indonesia dilanjutkan sehingga Khamis depan.

Tahanan reman bagi seorang lelaki tempatan berumur 40-an akan tamat esok.

Polis menemui lapan kanak-kanak berumur sebulan hingga 12 tahun di lokasi berlainan di bandar raya ini sejak penahanan seorang wanita Indonesia berumur 32 tahun pada 12 Julai selepas wanita itu didakwa cuba menjual seorang bayi dengan bayaran RM10,000 kepada anggota polis yang menyamar.

Kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri. -

Tiada ulasan: