Khamis, 8 Julai 2010

Kes gereja dibakar: ‘Kulit’ simbah minyak, ‘Sham’ pecah cermin

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu dua tertuduh mengalami kecederaan selepas membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati pada 7 Jan lepas dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Mohd Razman Azmir Shaharran, 22, rakan kepada tertuduh Raja Mohamad Faizal Ibrahim dan adiknya Raja Mohamad Idzham berkata beliau telah menghantar kedua-dua tertuduh ke Hospital Pusrawi dan kemudiannya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas kejadian itu.

Saksi ke-12 kes itu yang memanggil Raja Mohamad Faizal dengan nama Apai berkata semasa membawa mereka berdua ke hospital dengan kereta, Apai memberitahunya, tertuduh terbakar semasa di gereja tersebut dan tidak tahu siapa yang menyalakan api hingga menyambar tangannya.

Saksi itu yang kini ditahan di pusat tahanan Simpang Renggam di bawah Ordinan Darurat selepas siasatan kes ini turut memberitahu mahkamah kecederaan Raja Mohamad Idzham yang dipanggil Dek Am tidak seserius abangnya.

“Selepas saya sampai rumah (selepas kejadian itu) Dek Am telefon saya dan minta tolong. Dia dan abangnya cedera terbakar. Waktu tu pukul 12.30 malam. Saya bawa kereta dan ketika melalui rumah ''Charlie'' (rakannya), diapun hendak ikut. Kami pergi ke klinik Izham dekat Bukit Antarabangsa.

“Saya nampak muka dan tangan dia (Raja Mohamad Faizal) terbakar. Apai tidak pakai baju. Dek Am cedera dekat tangan. Lepas tu pergi ke Hospital Pusrawi tetapi Hospital Pusrawi suruh ke HKL sebab kecederaan serius,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.

Raja Mohamad Faizal, 24, adiknya Raja Mohamad Idzham, 22, dan Azuwan Shah, 23, didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas, melakukan khianat dengan membakar Metro Tabernacle Church AG di Jalan 4/4c, Desa Melawati di sini pada 11.50 malam 7 Jan lepas.

Ketiga-tiga tertuduh, yang bekerja sebagai penghantar surat, didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu beliau berkata penglibatannya dalam kejadian itu adalah kerana mengikut kawannya, Charlie atau nama sebenarnya Noor Sahli Nasrullah Bahariddin yang menyatakan “ada kerja” pada malam kejadian dan mereka berkumpul di restoran “Uptown White Coffee”.

Di restoran tersebut beliau berjumpa ramai kawan-kawannya termasuk tertuduh pertama dan kedua tetapi tidak perasan kelibat tertuduh ketiga Azuwan, dan ketika itu seorang rakannya yang dikenali sebagai Fuad memberitahu yang mereka hendak bakar gereja.

“Kami bergerak lebih kurang pukul 11.45 malam dengan enam buah motosikal. Apai dengan Dek Am juga ada (membonceng secara berasingan) bersama beberapa yang lain. Saya nampak mereka (rakan-rakan) bawa tong minyak dan tukul besi. Selain itu ada sebuah kereta dinaiki rakan saya bersama dua orang lagi yang saya tidak kenal.

“Saya sampai lambat sekali sebab terlajak ke depan. Bila saya sampai saya nampak mereka tengah pecahkan cermin dengan tukul. Lelaki yang tidak saya kenali itu guna besi penanda parking. Selepas itu dalam satu minit api terus menyambar dan semua kelam kabut melarikan diri,” katanya yang turut menyatakan beliau tidak melakukan apa-apa selain duduk di atas motor memerhatikan keadaan.

Ketika disoal balas oleh peguam Datuk Hanif Hashim yang mewakili dua beradik tersebut sama ada beliau dengar dan nampak anak guamnya membakar gereja itu, Mohd Razman Azmir berkata: “Tidak.”

Beliau juga tidak nampak sesiapapun terbakar dan tidak tahu siapa perancang utama malah katanya, kedua tertuduh juga tidak dilihat membawa apa-apa barang cuma pasti bahawa mereka turut berada di tempat kejadian.

Ditanya Hanif adakah beliau tahu bahawa kedua tertuduh mengalami kecederaan kerana terbakar semasa membakar sampah, Mohd Razman Azmir dengan wajah berkerut berkata: “Tidak tahu.”

Sementara itu saksi ke-13 Noor Sahli Nasrullah atau “Charlie” berkata beliau hanya mengikut sahaja rakan-rakannya ke situ dan tidak nampak ketiga tertuduh melakukan sebarang tindakan agresif kerana keadaan yang gelap.

Bagaimanapun beliau ternampak rakannya yang dipanggil “Kulit” menyimbah minyak dan “Sham” memecahkan cermin.

Apabila ditanya peguam di manakah kedua orang itu, beliau yang juga ditahan di Simpang Renggam berkata tidak tahu.

Perbicaraan di hadapan S.M. Komathy Suppiah disambung 26 Julai.

Tiada ulasan: