Jumaat, 2 Julai 2010

Kes ‘bini puaka’: Nombor Plat Motor Dihitamkan


rosmah Oleh Jamilah Kamarudin


KUALA LUMPUR: Perbicaraan hari ketiga ‘bini puaka’ terhadap lima pelajar Universiti Malaya (UM) semalam mengemukakan empat saksi yang mendakwa pelajar terbabit dalam kes menconteng dinding dewan dengan perkataan yang ditujukan kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur.

Pendakwa raya, Aidatul Azura Zainal Abidin mengemukakan saksi kesepuluh hingga ketiga belas bagi memberi keterangan berhubung kejadian yang berlaku pada 23 dan 24 Jun tahun lalu.

Saksi ketiga belas, Abdul Mutalib Ahmad Adnan, Pengawal Keselamatan UM semasa keterangannya mendakwa melihat motorsikal yang dinaiki tertuduh, Mohamad Izzudin Hilmi semasa hari kejadian diletakkan dikawasan berhampiran bangunan Akademi Pengajian Islam (API) kira-kira jam 3 pagi.

"Semasa meronda dikawasan API, saya ternampak motor masuk ke kawasan berhampiran dewan dan apabila menghampiri motor itu, saya lihat nombor plat depan dan belakang motor telah dihitamkan.

"Walaupun dihitamkan, nombor itu boleh dibaca jika dilihat dengan lebih dekat, iaitu WQA 4007," katanya semasa disoal Aidatul.

Abdul Mutalib memberitahu mahkamah, mengesyaki ada yang tidak kena dengan kelakuan Izzudin, beliau menyoal pelajar terbabit dan membawanya ke dewan itu.

"Saya syak kerana kebetulan disitu ada lawatan Datin Seri Rosmah Mansor pada pagi (24 Jun). Saya syak beliau hanya sekadar sebarkan risalah, tapi apabila kami masuk dalam blok B dewan, kami terbau petrol di karpet merah.

"Sementara bangunan kiri dan kanan diconteng dengan tulisan "C4", "Isteri Puaka", dan "Altantuya". Saya terkejut dan tidak menjangkakan perkara ini akan terjadi," katanya.

Karpet merah disimbahi minyak petrol

Abdul Mutalib kemudiannya diminta mengecam karpet merah yang disimbahi minyak petrol.

Beliau juga menerangkan laluan perjalanan peristiwa bagaimana beliau dan tiga rakannya yang bertugas pada waktu kejadian menahan motor Izzudin dan membawanya ke pejabat pengawal keselamatan UM.

Hakim Rozana Ali Yusof kemudiannya menangguhkan perbicaraan pada 9 Julai depan.

Selain Abdul Mutalib, mahkamah turut memanggil saksi kesepuluh dan kesebelas, Cik Inspektor Shaharudin Tahir dan Pegawai Forensik IPKKL M. Mohan.

Manakala saksi kedua belas Zairunizam Mod Jaini yang juga rakan sekerja Abdul Mutalib pada waktu kejadian juga dipanggil memberi keterangan.

Turut dituduh, Muhammad Syahruldeen Ahmad Rosli, Mohamad Aizat Rosle dan Mohammad Saufi Jelani, masing-masing berusia 22 tahun serta Mohd. Shazni Munir Mohd. Ithnin, 23.

Kelima-lima tertuduh turut hadir ditemani ahli keluarga dan rakan masing-masing.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut pada jam 4 pagi 24 Jun lalu di dewan kuliah utama API, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Sementara menurut Seksyen 436, ketiga-tiga dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama manakala menurut Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

Kelima-lima tertuduh diwakili oleh empat orang peguam yang diketuai oleh Mohamad Arfizi Mohd Ramli.

Mereka juga menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan jenayah di dewan tersebut pada waktu dan tarikh yang sama.

Tiada ulasan: