Selasa, 6 Julai 2010

Kes bakar gereja: Saksi nampak lelaki buka baju sebab terbakar

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa salah seorang daripada sekumpulan lelaki yang membakar gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, terpaksa membuka baju kerana rambut dan badannya terbakar.

Saksi Yong Choy Yee, 34, yang melihat kejadian itu dari dalam kereta berkata lelaki tersebut membuang T shirt yang dipakainya itu di tepi jalan sebelum melarikan diri sepertimana yang lain.

Sebelum itu, Yong berkata beliau ada melihat kelibat tujuh hingga lapan lelaki berlegar di luar gereja itu dan dua atau tiga orang di antara mereka membawa tong dan seorang membawa kayu besbol.

“Saya nampak sekumpulan lelaki datang masuk gereja. Ada yang bawa kayu dan pecah cermin. Dua atau tiga orang lagi ada bawa dua tong dan bakar gereja,” katanya ketika pemeriksaan utama sebagai saksi kelima oleh Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.

Dalam perbicaraan ini, Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24; adiknya Raja Mohamad Idzham, 22; dan Azuwan Shah Ahmad, 23; didakwa bersama-sama beberapa orang yang masih bebas, melakukan khianat dengan membakar gereja itu di Jalan 4/4C, Desa Melawati pukul 11.50 malam 7 Jan lepas.

Ketiga-tiga tertuduh, yang bekerja sebagai penghantar surat, didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Yong berkata kesemua lelaki yang berada di perkarangan gereja tersebut keluar dari satu arah yang agak gelap dan berjalan kaki.

Menjelaskan bagaimana beliau berada berhampiran tempat kejadian, Yong, seorang juruletrik berkata ketika itu beliau bersama rakannya, See Jiun Jiun, berada di kawasan letak kereta selepas makan malam dan ada di antara lelaki tersebut menghampiri keretanya.

“Selepas dia orang lari baru saya beredar. Orang ramai dah datang (tengok tempat terbakar). Saya tidak buat aduan (aduan polis) sebab di belakang saya ada orang pakai jaket dan topi keledar naik motor.

“Sebelum tu dia berpusing-pusing dekat dengan kereta saya. Saya tidak tahu dia orang ada pistol ke apa. Nanti dia tembak bila tengok saya telefon,” katanya.

Sementara itu saksi keempat pendakwaan Mohammad Tarmizi Yaakob, 31, berkata pada pemerhatiannya, kejadian itu dilakukan oleh enam lelaki yang menaiki tiga buah motosikal.

Beliau bagaimanapun tidak nampak lelaki tersebut membawa apa-apa barang dan tidak nampak seorang pun yang terbakar.

Tarmizi yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di stor Finas, kira-kira 100m dari gereja tersebut, berkata beliau terdengar seperti suara pergaduhan dan bunyi kaca pecah sebelum kebakaran itu berlaku.

“Saya nampak tiga buah motor berhenti. Ada enam orang. Nampak seorang ke

gereja dan pecahkan cermin. Saya nampak dua orang naik motor dan lari di depan

saya,” katanya.

Saksi keenam iaitu pengawal keselamatan gereja tersebut V. Mariappan, 69, pula memberitahu bahawa beliau hanya terdengar bunyi seperti letupan bom dan ketika kejadian, beliau berada di tandas.

“Dalam pukul 11.45 malam saya ke tandas dan ketika saya tutup pintu kantin (tandas berada dalam kantin gereja) saya dengar bunyi dan tengok ada orang sedang lari. Gereja telah terbakar. Lepas itu ramai orang datang dan ada tolong telefon bomba,” katanya.

Ketiga-tiga saksi itu memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak dapat mengecam kesemua lelaki yang berada di tempat kejadian kerana keadaan gelap malah ketika ditunjukkan ketiga-tiga tertuduh, mereka tidak dapat memastikannya.

Muhammad Tarmizi dan Yong hanya menyatakan pada anggapan mereka, lelaki-lelaki itu berusia antara 20 hingga 30 tahun dan ada di antaranya kurus dan tinggi.

Perbicaraan di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah bersambung esok.

Tiada ulasan: