Khamis, 29 Julai 2010

Kes Asri ajar tanpa tauliah ditangguh

BERNAMA


Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini menggantung prosiding kes bekas Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan Syariah.

NONEHakim Syarie Abu Zaky Mohammad berkata kes itu ditangguhkan sehingga proses rayuan Mohd Asri terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang membenarkan perbicaraan kes tersebut dipindahkan dari Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam.

Beliau membenarkan penggantungan itu selepas dipohon peguam syarie Mohd Asri, Kamar Ainiah Kamaruzzaman dan tidak dibantah oleh Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abdul Shukor Abdul Hamid ketika kes disebut semula di Shah Alam hari ini.

Hakim juga membenarkan permohonan Kamar Ainiah agar Mohd Asri dibebaskan dengan dua penjamin tanpa wang jaminan.

Pada 18 Nov 2009, Mohd Asri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah rumah di Lorong 2C Taman Seri Ukay Ampang antara pukul 8.10 malam hingga 9.45 malam 1 Nov tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 dan jika sabit kesalahan Mohd Asri berhadapan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan: