Jumaat, 23 Julai 2010

Kerajaan Terlalu Berkira Beri Subsidi Kepada Rakyat


parlimen_building Dewan Negara Hari Ini

Oleh Muda Mohd Noor

KUALA LUMPUR: Senator Mohd Yusof Husin membidas kerajaan kerana terlalu berkira untuk memberi subsidi kepada rakyat tetapi dengan mudah membantu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan subsidi mencecah berbilion ringgit.

"Tujuh puluh tiga peratus golongan Bumiputera merupakan ‘golongan mudah terjejas’ kerana pendapatan mereka kadang kala cukup, kadang kala tidak cukup.

"Dua puluh peratus dari jumlah penduduk negara adalah golongan kaya tetapi berapa peratuskah Bumiputera?," soal beliau.

"Saya hendak tanya bagaimanakah kita hendak memastikan dalam RMK-10 ini supaya 73 peratus diberi perhatian sewajarnya," kata senator dari Kedah itu ketika berucap membahaskan Rancangan Malaysia ke 10 (RMK-10) di Dewan Negara hari ini.

Sistem pembelajaran pelbagai aliran

Sementara itu, Senator Datuk Firdaus Abdullah pula berkata, RMK-10 perlu kembali kepada wawasan dan rohnya sebagaimana yang ditetapkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi negara maju.

Beliau berkata, "perdana menteri keempat itu menyatakan Malaysia menjadi negara maju perlu mengikut acuan sendiri tetapi kini kita telah mengabaikannya."

Dalam ucapannya, Firdaus juga berkata, sistem pembelajaran pelbagai aliran gagal menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.

"Di manakah berlaku perpaduan kerana orang Melayu dengan sitem pendidikan mereka, orang Cina dan India dengan pendidikan mereka sendiri? Seragamkan sistem pendidikan dan pelajar belajar di bawah satu bumbung," tegas beliau.

Firdaus juga berkata, sistem pendidikan kebangsaan juga gagal dan mekanisme pelaksanaan perlu dikaji semula agar mencapai matlamatnya.

Tiada ulasan: