Sabtu, 17 Julai 2010

Kerajaan Negeri Dedah Syarikat Penerima Permit Pasir

TV SELANGOR

Nama individu di sebalik syarikat-syarikat yang diberi izin melombong pasir di Selangor akan didedahkan selepas Kerajaan Negeri mengesahkan status dan jawatan mereka yang berkenaan.

"Kita telah keluarkan senarai nama syarikat. Tetapi, oleh kerana pengarah-pengarah mungkin bertukar, begitu juga pemegang saham, kita akan mengesahkan status mereka sebelum kita dedahkan nama-nama itu," kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Jika kita dedahkan identiti mereka, tetapi mereka tidak lagi terlibat dengan perlombongan pasir, itu tidak bagus. Mungkin ada diantara syarikat-syarikat ini tidak lagi aktif dalam perlombongan pasir," tambah beliau.

Kerajaan Selangor semalam menyiarkan senarai 158 nama syarikat dan individu yang diberikan permit melombong pasir di negeri ini yang dikeluarkan pada 2005, 2006 dan 2007 di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

Sebanyak 158 permit melombong pasir telah dikeluarkan untuk tiga tahun iaitu 49 permit pada 2005, 48 permit pada 2006 dan 61 permit pada 2007. Daripada jumlah ini, 33 permit dikeluarkan kepada individu dan selebihnya atas nama syarikat.

Permit-permit ini dikeluarkan oleh enam Pejabat Tanah iaitu Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang, Kuala Selangor, Petaling, Hulu Selangor dan Gombak.

Sebelum 2008, prosedur pengeluaran permit ialah Pejabat Tanah Daerah membuat kertas ringkasan mengenai permohonan yang dibuat untuk melombong pasir dan dihantar ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Permohonan ini kemudian dihantar ke Jawatankuasa Teknikal Permit Bahan Batuan untuk ulasan dan syor. Permit hanya dikeluarkan selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Tanah (Pasir).

Selepas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), milik penuh kerajaan Selangor ditubuhkan, permit permohonan masih dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah tetapi hanya kepada KSSB.

KSSB akan membuat permohonan kepada pentadbir tanah dan selepas permohonan ini mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), barulah KSSB membuka tender secara terbuka kepada syarikat-syarikat yang berpengalaman dan mempunyai jentera yang mencukupi untuk menjalankan kerja perlombongan pasir.

Hasil kutipan penjualan pasir ini, KSSB membuat pembayaran royalti kepada Kerajaan Negeri menggunakan perkiraan yang telah ditetapkan.

Dengan cara ini, perlombongan pasir di atas tanah milik kerajaan lebih terkawal berbanding sebelum 2008 apabila hanya KSSB diberikan permit oleh pentadbir tanah.Langkah kerajaan Selangor ini bukan saja berjaya mengurangkan aktiviti curi pasir yang telah berleluasa sebelum 2008 malah telah meningkatkan kutipan hasil dan royalti.

Tiada ulasan: