Khamis, 8 Julai 2010

Kerajaan Diminta Tidak Abai Hak Wanita Penan Semata-mata Kejar Kemajuan Ekonomi Negara

TV SELANGOR


Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno Barisan Nasional diingatkan supaya tidak mengabai aspek hak asasi masyarakat peribumi semata-mata mengejar kemajuan ekonomi negara.

Mengulas dakwaan tujuh wanita Penan dirogol secara sistematik yang berlaku di Sarawak, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmaidi Yusof menggesa kerajaan supaya berlaku adil terhadap kaum peribumi lantaran isu ini sudah kedengaran sekian lama.

Penan Support Group terdiri daripada 36 badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini mengeluarkan laporan bertajuk "A Wider Context of Sexual Exploitation of Penan Women and Girls in Middle and Ulu Baram, Sarawak."

Laporan itu mendedahkan tujuh lagi wanita Penan mendakwa dirogol atau didera secara seksual oleh pekerja balak November tahun lalu.

Wanita Penan didakwan secara sistematik diperkosa pembalak dan ia masih berterusan meskipun dinafikan oleh kerajaan Sarawak manakala polis pula dilihat gagal bertindak dengan penuh wibawa.

Pada 2008, laman web NGO, Bruno Manser Foundation menyiarkan artikel yang mendakwa wanita muda dan pelajar perempuan kaum Penan dirogol pekerja balak di pedalaman.

“Isu Penan ini sekali lagi saya mahu rakyat Malaysia tahu dia bukan isu biasa dan bukan disebabkan isu orang Penan, isunya di sini di mana perlembagaan katakan hak-hak orang di Malaysia, orang Penan dan sebagainya perlu dijaga sama sepertimana kita menjaga hak orang lain.

“Isu Penan ini bagi saya kalau tidak diadili dengan baik oleh kerajaan, jangan terkejut isu ini satu hari nanti isu ini akan jadi isu nasional,” katanya.

Apabila ditanya TV Selangor, kemungkinan usaha untuk menutup isu Penan ini sebagai langkah berteraskan kepentingan eknomi negara, ini jawapan Yusmadi.

“Itu ada kebenarannya sebab saya sendiri tanya satu soalan mengenai satu pembalakan, jadi isu Penan ini tidak boleh dilihat sebagai satu isu ekonomi semata-mata, ia adalah isu hak asasi manusia dan saya katakan tadi hak asasi manusia punyai kaitan langsung dengan isu ekonomi. Maksudnya kalau gagal menguruskan isu ekonomi hak asasi manusia, mana mungkin ada pembangunan ekonomi,” katanya.

Tiada ulasan: