Isnin, 19 Julai 2010

Kerajaan ada lebihan pendapatan RM10b tanpa selaras subsidi: Ahmad Husni

THE MALAYSIAN INSIDER

IPOH – Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini menafikan dakwaan sesetengah pihak penyelarasan subsidi dilakukan bagi menampung pendapatan negara yang berkurangan akibat boros berbelanja.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan masih mempunyai lebihan pendapatan RM10 bilion pada tahun ini sekalipun tanpa penyelarasan subsidi itu.

“Hasil pungutan cukai terancang Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri kerajaan memperoleh pendapatan RM158 bilion tahun ini berbanding RM148 bilion ketika pembentangan belanjawan tahun lepas.

“Kerajaan mampu untuk berbelanja. Pelarasan subsidi merupakan satu inisiatif yang amat penting yang memerlukan belanjawan tambahan, jadi ia bukan isu boros,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media parti pembangkang yang mendakwa kerajaan terpaksa mengurangkan subsidi untuk menampung pendapatan negara yang semakin berkurangan kerana sikap boros kerajaan.

Ahmad Husni (gambar) berkata pengurangan subsidi bertujuan menjadikan ekonomi lebih efisien khususnya bagi mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.

“Bagaimana boleh dikatakan boros sedangkan kita ada Unit Pengurusan Projek untuk mengkaji setiap bulan pencapaian ekonomi kita,” katanya.

Beliau sebelum itu menyampaikan peruntukan berjumlah RM450,000 untuk pembesaran Surau Taman Chepor Damai di sini. – Bernama

Tiada ulasan: