Jumaat, 2 Julai 2010

Keputusan kes Michael Soosai pada 8 Julai

BERNAMA



Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan Khamis depan bagi keputusan kes bekas atendan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dua lain yang didakwa memalsukan sijil dan daftar kematian serta permit pengebumian penjenayah Michael Soosai.

Hakim Mohamad Sekeri Mamat menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pembelaan.

Pihak pendakwaan telah memanggil 24 saksi termasuk S Pallipillamah, iaitu satu-satunya saksi yang memberitahu mahkamah bahawa dia telah melihat Soosai di Madras, India.

Selain tiga tertuduh, pihak pembelaan menampilkan isteri Soosai, S Kumari, 45, yang memberitahu mahkamah bahawa dia telah mengecam mayat suaminya dan kemudian memberi kebenaran kepada bekas tunang anak perempuannya, J Kumaresan, untuk mengurus pembakaran mayat mendiang.

Kumari juga memberitahu bahawa dia telah dimaklumkan bahawa suaminya meninggal dunia akibat masalah jantung dan dia hadir pada upacara pembakaran mayat di sebuah krematorium di Cheras, dekat Kuala Lumpur.

Bekas atendan HKL, K Subramaniam, 33 dan seorang lagi yang masih bebas, didakwa menipu Dr Wan Mohamed Zamri Wan Nawawi, 45, untuk mengeluarkan sijil kematian bagi Soosai di Bilik Mayat HKL antara pukul 11 pagi dan 3 petang pada 12 September 2003.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat pula, Subramaniam bersama seorang lagi yang masih bebas, menghadapi tuduhan memalsukan daftar kematian HKL bertarikh 12 Sept 2003, permit pengebumian dan sijil kematian dengan niat untuk menipu.

Kumaresan, 28, dan peniaga besi lusuh, V Sanjeev Kumar, 34, dituduh bersuhabat dengan Subramaniam dalam empat tuduhan berkenaan.

Semua tertuduh diwakili penguam Naran Singh dan Hasnal Rezua Merican manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendaya Raya, Syed Faisal Syed Amir.


Tiada ulasan: