Jumaat, 23 Julai 2010

Keengganan KSN Menghukum Nik Ali Bukti Kakitangan Awam Pak Turut UMNO BN

KELAB GREENBOC

KSN: Nik Ali kecam Guan Eng tidak akan dihukum

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan terus mempertahankan tindakan Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) Nik Ali Mat Yunus yang menyerang Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dengan menegaskan, tiada tindakan akan diambil ke atas beliau.

Mohd Sidek berkata, Nik Ali tidak seharusnya dihukum kerana beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Adakah beliau melakukan apa-apa kesalahan? Apa kesalahan yang beliau lakukan? Apakah tindakan yang harus diambil ke atas beliau?” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Forum Garis Panduan Pemerolehan Kebangsaan di sini hari ini.

Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam memutuskan agar perkhidmatan Nik Ali tidak diperlukan lagi di negeri itu.

Pada mesyuarat yang dipengerusikan Lim, Nik Ali juga diminta memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya yang menyifatkan Ketua Menteri sebagai dayus dan biadap.

Malah semalam, Ketua Setiausaha Negara mempertahankan Nik Ali dan menyifatkan kenyataan berupa tuduhan oleh Ketua Menteri terhadapnya sebagai melampau.

Mohd Sidek (gambar) berkata Lim sebagai Ketua Menteri tidak sepatutnya melemparkan kenyataan terbuka kepada seorang Pegawai Persekutuan yang berkhidmat di negeri berkenaan.

Beliau yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, berkata Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya semalam memberi perhatian yang serius atas kenyataan berupa tuduhan oleh Lim terhadap Nik Ali khususnya mengenai isu curi pasir di Balik Pulau, perobohan Pintu Gerbang Taman Botani Pulau Pinang dan dakwaan tiada tempat duduk disediakan untuk Ketua Menteri Pulau Pinang semasa majlis pelancaran projek Kereta Api Bukit Bendera.

“Tiga isu berbangkit tersebut yang mana Nik Ali Mat Yunus telah dipersalahkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang bukanlah perkara-perkara di bawah bidang kuasa pegawai berkenaan sebagai Pegawai Pembangunan Negeri,” kata Mohd Sidek dalam satu kenyataan semalam.

Pada sidang media kelmarin, Nik Ali mengkritik Ketua Menteri dengan menyifatkannya sebagai biadab manakala tindakannya menyerang Pegawai Pembangunan Negeri itu telah merendahkan statusnya sebagai Ketua Menteri.

Mohd Sidek ditanya sama ada salah jika seorang kakitangan awam menghadiri program yang dianjurkan oleh Lim yang juga Setiausaha Agung DAP dan menekankan bahawa Nik Ali hanya menghadiri majlis seumpama itu selaku seorang pegawai kerajaan.

“Adakah salah jika saya mengadakan sidang media bersama Datuk Seri Najib Razak? Jika tugas beliau sebagai perdana menteri dan tugas saya sebagai ketua setiausaha negara, tidak salah saya mengadakan sidang media bersama beliau,” kata Mohd Sidek.

Mohd Sidek juga mempertahankan kenyataannya semalam bahawa tuduhan dibuat Lim adalah melampau dan tidak harus dibuat secara terbuka.

Beliau menambah, Nik Ali ada hak untuk memberi respons kepada tuduhan-tuduhan dibuat oleh Lim.

“Jika beliau tidak memberi respons tentang kritikan-kritikan itu maka orang ramai akan menganggap beliau sebagai bersalah,” katanya.-TMI

Pak Turut: Gambaran Hodoh Prestasi Kakitangan Awam?

Tidak sampai lima belas bulan Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dengan azam untuk dikenali sebagai seorang reformis, sekurang-kurangnya satu perubahan sudah hampir pasti terjadi – mutu perkhidmatan awam semakin merosot.

Perihal ini amat membimbangkan.

Betapa tidaknya, dengan secara terbuka ahli-ahli politik yang dipimpin oleh Najib kini tidak segan silu menempelak kakitangan perkhidmatan awam kerana cuai dan tidak cekap.

Ambil sahaja contoh permit akhbar parti-parti kerabat Pakatan Rakyat di mana rakyat dapat melihat betapa tidak cekapnya kakitangan kanan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan tugas mereka.

Dalam kes DAP misalnya, permohonan yang dikemukakan oleh parti itu untuk mendapat permit akhbar berbahasa Malaysia setahun lalu masih belum ada keputusan daripada Kementerian berkenaan.

Sementara Parti Keadilan Rakyat dan juga PAS juga mendapati mereka berurusan dengan kakitangan kementerian yang tidak cekap.

KEADILAN mengemukakan permohonan untuk memperbaharui permit penerbitan akhbar Suara Keadilannya pada Mac tahun ini. Permit itu luput pada 30 Jun lalu.

Namun pada 2 Julai, pihak kementerian tanpa rasa bersalah memberitahu KEADILAN, pembaharuan permit yang dimohon masih belum dipertimbangkan oleh Panel 13nya.

PAS mengalami nasib yang sama. Maka jika diukur dari kacamata prestasi apa yang dilaungkan Najib untuk memperbaiki mutu perkhidmatan kakitangan kerajaan sudah jelas tidak kesampaian.

Sementara itu, seorang menteri dengan bangganya bahawa kerajaan akan membina sebuah bangunan parlimen baru bernilai RM800 juta di Putrajaya. Ini kerana bangunan parlimen sedia ada sudah kurang sesuai kerana banyak kerja penyenggaraan yang perlu dibuat hingga menelan bajet beratus juta.

Keputusan ini dikritik hebat oleh pelbagai pihak kerana ia jelas satu pembaziran dan kerja penyenggaraan yang dikatakan sebenarnya membayangkan ketidakcekapan tahap tinggi di pihak Jabatan Kerja Raya.

Bagaimana apabila disergah kemarahan rakyat, kerajaan menarik balik kenyataan hendak bina bangunan parlimen baru.

Menteri Kerja Raya berkata ia hanya satu cadangan sahaja. Malah menteri yang ghairah mahu bangunan baru pun meminta maaf dan menjelaskan beliau mendapat maklumat kurang tepat daripada kakitangan awam.


Sebelum itu, apabila Majlis Tertinggi Umno memutuskan kerajaan BN mesti menghentikan cita-cita hendak menghalalkan judi sukan kerana pertimbangan agama dan politik, Presiden Umno merangkap perdana menteri pula memberi jawapan di parlimen jika kerajaan memutuskan hendak menghalalkan judi sukan, lesen akan diberi kepada Ascot Sports.

Gegak gempita reaksi rakyat. Sudahlah Umno secara unilateral membuat keputusan mengharamkan judi sukan dengan membelakangkan komponen BN lain, kini ada cita-cita untuk menghalalkannya kembali.

Apabila rasa tersudut dengan isu itu, kenyataan pun dikeluarkan bahawa jawapan perdana menteri itu adalah satu kesilapan kakitangan perkhidmatan awam menyediakan jawapan di parlimen.

Hodoh benar gambaran prestasi kakitangan awam. Ini belum lagi mengambilkira cara mereka mengurus hal ehwal rakyat yang lain seperti mengatasi masalah kekurangan bekalan gula.

Wajarkah apabila tidak dapat memastikan bekalan barang kawalan itu kepada rakyat cukup, tindakan yang diambil ialah menempah iklan di radio dan televisyen dan berkempen bahawa gula tidak baik untuk kesihatan?

Rakyat tahu itu kerja Kementerian Kesihatan dan bukan kementerian yang memantau perdagangan dalam negeri! Tugas hakiki mereka ialah memastikan bekalan gula mencukupi. Sekali lagi itu menunjukkan ketidakcekapan pegawai kerajaan.

Yang menjadi persoalannya ialah, apakah jenis latihan yang perlu diberikan kepada kakitangan kerajaan agar prestasi mereka meningkat dan mutu khidmat lebih cekap?

Namun demi berlaku adil, persoalan yang lebih penting lagi dinilai ialah, adakah contoh-contoh itu gambaran sebenar berhubung mutu perkhidmatan dan kecekapan kakitangan awam?

Pihak penjawat awam pasti tidak bersetuju. Ada banyak sebab mengapa keadaan jadi begitu. Yang paling utama sekali ialah latihan dan didikan yang mereka terima sebelum disahkan dalam jawatan ialah memahami dan menghayati piagam “kami yang menurut perintah”.

Apa yang mereka lakukan meskipun kelihatan hodoh, bodoh dan seakan berseloroh adalah kerana mereka hanya “menurut perintah”. Perihal ini yang membimbangkan.


Meskipun akur yang natijah tindakan mereka yang “bermati-matian” menurut perintah mungkin tidak baik terhadap imej dan prestasi mereka, perintah dangkal tetap dilaksanakan juga!

Di satu segi mereka diperintah supaya belajar dan mengamalkan budaya Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT). Maka kita lihat hasilnya perkhidmatan lebih pantas dan memuaskan di Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan.

Namun oleh kerana “menurut perintah” amalan ICT tidak boleh pula dilaksanakan dalam kerja pendaftaran automatik rakyat yang menggenapi umur 21 tahun sebagai pengundi!

Lantas, soal budaya “menurut perintah” inilah yang sering memberi gambaran serong terhadap mutu perkhidmatan kakitangan kerajaan. Jika perintah itu bodoh dan hodoh, maka hodoh dan bodohlah kakitangan kerajaan.

Soalan bodoh: siapakah yang sering mengeluarkan perintah hodoh dan bodoh ini? Rasanya kakitangan kanan Kementerian Dalam Negeri adalah cukup berpengalaman dan tahu bila hendak bermesyuarat dan membuat keputusan.

Namun dalam kes permit akhbar Pakatan Rakyat adakah kelemahan yang ketara akhir-akhir ini ditunjukkan oleh pegawai-pegawai berkenaan adalah kerana mereka menerima dan perlu melaksanakan perintah bodoh?

Begitu juga pegawai dan kakitangan kerajaan lain dalam isu bangunan parlimen baru dan lesen judi sukan; adakah mereka kelihatan bodoh dan hodoh kerana perintah yang diterima datang daripada pihak yang dangkal dan muflis fikiran?

Tidakkah boleh dikira sampai masanya piagam “menurut perintah” ini dikaji semula.

Atau, sememangnya ia sudah terlalu sebati dengan kakitangan kerajaan?

Atau, mungkinkah kakitangan awam terlalu takut untuk berubah kerana bimbang akan kehilangan keistimewaan dan juga sumber rezeki seumur hidup jika cuba berubah?

Atau, kakitangan kerajaan memang hanya Pak Turut?
-Faris Aiman (SK)

Tiada ulasan: