Rabu, 14 Julai 2010

KDN lapor polis dokumen sulit diterbit edisi ‘Keadilan’

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membuat laporan polis semalam berhubung penyiaran dokumen sulit pada muka depan edisi “Keadilan” yang diedarkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Laporan polis yang telah dibuat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) adalah kerana penyiaran dokumen yang diklasifikasikan sebagai ‘SULIT’ yang tersiar di muka surat depan penerbitan ‘Keadilan’,” kata Timbalan Ketua Setiausaha KDN Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa laporan polis yang dibuat KDN semalam berhubung penerbitan akhbar minggu Suara Keadilan walaupun permitnya tamat pada 30 Jun lepas.

Sementara itu, pengarah strategi PKR Tian Chua meminta KDN memberi keputusan mengenai permit Suara Keadilan.

“Kalau nak haramkan, terus keluarkan surat menyatakan akhbar kami diharamkan dan kami boleh mengemukakan rayuan di mahkamah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tiada ulasan: