Ahad, 18 Julai 2010

Kaki robot untuk pesakit lumpuh

LAPORAN - Agensi


WELLINGTON -Dua penyelidik New Zealand mencipta kaki robot pertama di dunia yang akan membantu manusia lumpuh berjalan semula.

Kaki robot itu buat masa ini diuji oleh seorang pemuda, Hayden Allen berumur 23 tahun yang lumpuh lima tahun lalu kerana kemalangan motosikal di sini.

Menurut Allen, dia kini boleh berjalan dan berdiri apabila menggunakan kaki robot tersebut.

Dua penyelidik yang mencipta kaki robot itu dengan kos AS$7.1 juta (RM22.75 juta) ialah Richard Little dan Robert Irving yang merupakan jurutera Scotland tetapi telah berhijrah ke New Zealand pada 1990-an.

Mereka mendapat idea mencipta kaki robot seberat 38 kilogram itu tujuh tahun lalu berdasarkan ilham daripada filem Alien menerusi adegan aktres Sigourney Weaver memanjat dengan menggunakan satu sut robot bagi melawan makhluk asing.

Kaki robot yang diberi nama Rex dan dimajukan oleh syarikat bioteknologi Rex Bionics itu akan dijual AS$150,000 (RM480,674) di seluruh dunia tahun depan. - Agensi

Tiada ulasan: