Sabtu, 3 Julai 2010

JKM ambil alih urus Rumah Titian Kasih

KUALA LUMPUR - Operasi Rumah Titian Kasih (RTK) akan berakhir tidak lama lagi apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersetuju untuk memindahkan mereka di institusi-institusi di bawah pengurusan jabatan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, JKM akan menempatkan 85 kanak-kanak, 14 Orang Kurang Upaya (OKU), empat orang tua dan 21 ibu tunggal di institusi masing-masing dalam sehari dua ini.

Beliau memberitahu, JKM mempunyai tempat yang mencukupi dan mereka tidak perlu diusir walaupun pihak RTK telah membuat rayuan pada 1 Julai untuk terus tinggal di situ.

Jelasnya, keadaan di RTK amat membimbangkan sehingga seorang OKU, Norizan Nor, 39, dari Terengganu dilaporkan hilang Jun lalu dan ibunya berada di sini untuk membuat aduan.

"Selain itu, kanak-kanak, golongan yang didera dan sakit kesemuanya diletakkan setempat dan keadaannya amat tidak selesa.

"Sesebuah pusat jagaan mesti dilesenkan, perlu mengikut prosedur operasi standard di samping mematuhi Akta Pusat Jagaan 1993 dan sekiranya tidak berdaftar pusat berkenaan tidak akan mendapat bantuan kerajaan," katanya pada sidang akhbar ketika berkunjung ke RTK di Persiaran Titiwangsa di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian, pusat jagaan yang beroperasi tanpa lesen boleh dikenakan denda RM10,000 dan penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, katanya, mereka yang didapati bersalah dan mengulanginya boleh didenda RM1,000 sehari.

Shahrizat berkata, RTK yang telah beroperasi 12 tahun itu tidak mendapat kelulusan daripada agensi teknikal termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Sehubungan itu, pihaknya akan menyiasat bagaimana RTK gagal mendapat kelulusan daripada ketiga-tiga agensi tersebut di samping cuba mendapatkan latar belakang ibu bapa kanak-kanak yang ditempatkan di situ.

Menurutnya, kanak-kanak perlu berada bersama keluarga dan bukan di pusat jagaan melainkan mempunyai alasan yang sangat kritikal.

Beliau berkata, terdapat 22 pusat jagaan yang berdaftar di Wilayah Persekutuan dan 425 seluruh negara.

Sementara itu, pengasas RTK, Sharifah Adlan yang ditemui berkata, pihaknya tidak mendapat kelulusan pelan lantai daripada tiga agensi tersebut kerana rumah jagaan itu hanya disewa.

"Untuk mengubah pelan lantai adalah di luar kemampuan selain sewa bulanan RTK akan dinaikkan daripada RM2,700 kepada RM5,400 mulai 1 Oktober ini,'' katanya.

1 ulasan:

suria berkata...

Salam,

sungguh menyedihkan. ini adalah lakonan hebat pemimpin. seorang menteri yang menjaga kebajikan nampaknya lebih menjaga protokol. malah cuba mengalihkan perhatian dengan melempar tuduhan demi tuduhan kepada RTK.

mengapa tak siasat 5 tahun dulu?

mengapa sekarang baru nak siasat sedangkan Ketua Pengarah JKM dah membuat kenyataan bahawa JKM dah membantu RTK untuk dapat lesen?

Bukankah ini bermakna RTK sepatutnya mendapat bimbingan dalam pengurusan rumah supaya mengikut kriteria kementerian?

wallahua'alam