Isnin, 5 Julai 2010

Isu pengundi: DAP gesa Pemuda Umno minta maaf, tarik balik kenyataan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Sayap muda DAP menggesa Pemuda Umno menarik balik kenyataannya Isnin lalu berhubung nisbah pengundi antara orang Melayu dan bukan Melayu — mereka dakwa nisbah 1:40, yang dilihat mengelirukan rakyat negara ini dan memohon maaf secara terbuka.

Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Loke Siew Fook mendakwa kenyataan dibuat Pengerusi Biro Keahlian dan Pendaftaran Pengundi Pemuda Umno, Hishamuddin Yahya bukan sahaja palsu dan berbaur perkauman, malah menimbulkan suasana tidak senang di kalangan rakyat berbilang kaum.

Kelmarin, Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal juga berkata beliau tidak yakin nisbah antara Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru ialah 1:40.

Shafie berkata jumlah yang telah mendaftar sebagai pengundi baru di kalangan orang Melayu kini meningkat.

“Pemuda Sosialis DAP menggesa Pemuda Umno pusat segera mengarahkan Hishamuddin menarik balik kenyataannya yang mendakwa nisbah pengundi baru selepas pilihan raya umum ke-12 ialah 1 Melayu kepada 40 bukan Melayu.

“Pemuda Umno juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat kerana kenyataan tersebut bukan sahaja palsu dan menggelirukan, ia juga menimbulkan perasaan kurang senang hati di kalangan masyarakat majmuk Malaysia,” kata Loke dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah menambah kenyataan yang berbaur perkauman tersebut terbukti palsu selepas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjelaskan kepada bahawa nisbah sebenarnya ialah 2:1 iaitu setiap dua orang Melayu yang mendaftar, hanya seorang bukan Melayu mendaftar.

Katanya berdasarkan kenyataan SPR, angka yang sebenar yang telah didaftarkan oleh agensi itu sejak Mac 2008 ialah seramai 569,137 orang di mana 355,805 atau 62.2 peratus merupakan kaum Melayu, 131,046 (Cina) manakala 27,823 adalah kaum India.

“Angka ini melambangkan demografi yang lebih mirip kepada pecahan kaum di Malaysia dan amat jauh berbeza dari nisbah yang didakwa oleh Hishamuddin.

“Ternyata kenyataan dan dakwaan tersebut mempunyai agenda politik yang sempit dan ingin mengeliru dan menakutkan masyarakat Melayu bahawa kedudukan politik mereka semakin terancam,” kata Loke.

Malah statistik SPR juga menunjukkan pada tahun lepas sahaja, Umno telah mendaftarkan jumlah pengundi baru paling banyak iaitu 24,818, diikuti DAP (17,756) dan PAS (16,987).

Shafie berkata beliau mengakui bahawa parti pembangkang banyak berusaha untuk menarik seberapa ramai yang mendaftar sebagai pemilih berbanding parti komponen Barisan Nasional.

Kenyataan Hishamuddin disiarkan oleh akhbar Berita Harian dalam muka surat depan Isnin lalu dan laporan susulan hari keesokan.

“Namun, selepas Pengerusi SPR menjelaskan angka yang sebenarnya semalam, Berita Harian langsung tidak melaporkan fakta yang sebenarnya hari ini. Apakah ini melambangkan tahap profesionalisme Berita Harian?” kata Loke lagi.

Loke menjelaskan, agenda lebih penting yang harus diperjuangkan oleh semua pihak susulan laporan awal minggu ini ialah pertimbangan sewajarnya harus diberi kepada cadangan pendaftaran pengundi secara automatik.

Katanya, setiap warganegara Malaysia yang mencapai umur, yang layak harus menjadi pengundi sah tanpa perlu mendaftarkan diri dengan SPR.

“Ini bukan sahaja akan memudahkan urusan SPR dan menjimatkan sumber, malah kebimbangan bahawa kedudukan politik mana-mana kaum akan terancam tidak akan timbul sama sekali kerana setiap warganegara Malaysia berhak untuk menentukan barisan pimpinan negara.

“DAP dan Pakatan Rakyat menyokong penuh cadangan pendaftaran pengundi secara automatik kerana ia telah dipersetujui dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan dalam Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam tahun lepas,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga berkata nisbah itu tidak betul dan tidak masuk akal.

Tiada ulasan: