Khamis, 15 Julai 2010

Isu pasir: MB S'gor perlu setahun lagi

Jimadie Shah Othman

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengganggarkan kerajaan negeri masih memerlukan kira-kira setahun lagi bagi menyelesaikan masalah kecurian pasir di negara itu kerana aktiviti haram itu telah lama berlaku.

"Saya tidak rasa isu ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan.

"Barangkali setahun lagi (baru selesai)," katanya ketika menyentuh jawapan kerajaan pusat yang menyerahkan isu tersebut kepada pihak negeri bagi menyelesaikannya.

Semalam, Selangor menghantar surat kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon kerjasama timbalan perdana menteri itu dalam menangani isu kecurian pasir di negeri itu.

Khalid memberitahu, dalam surat itu, beliau menjelaskan isu kecurian pasir di Selangor dan menjemput Muhyidin dan agensi kerajaan persekutuan untuk sama-sama memerangi jenayah itu.

Muhyiddin hari ini bagaimanapun diilaporkan berkata kerajaan Selangor seharusnya menggunakan kebijaksanaan sendiri dalam menangani isu itu kerana ia terletak bawah bidang kuasa mereka.

Dalam sidang media selepas persidangan DUN Selangor ditangguhkah petang ini, Khalid berkata ekoran jawapan Muhyidin itu, pihaknya tiada pilihan lain selain daripada bekerja keras menyelesaikan masalah yang berbangkit itu.

Tiru pembangunan The Mines

Menurut Khalid, bagi tujuan itu beliau antaranya akan menubuhkan pasukan kajian bagi menyelesaikan masalah itu secara menyeluruh, bukan membuat tangkapan semata-mata.

Beliau memberikan contoh The Mines Resort di Serdang yang merupakan bekas kawasan perlombongan yang kini dibangunkan dengan baik.

"Pasir dapat, pembangunan pun dapat," katanya lagi.

Khalid juga menjemput Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud bagi membentangkan cadangan kerajaan negeri bagi mengawal aktiviti pengeluaran pasir secara haram.

Manurut Ramli, dalam membanteras aktiviti itu, kerajaan negeri menjalankan beberapa aktiviti penguatkuasaan termasuk merampas 27 jengkaut dan 33 lori pasir sejak tahun lalu.

Manakala 11 lot tanah persendirian yang terlibat dalam aktiviti tersebut telah dirampas.

Antaranya, terdapat tanah bernilai tinggi sebanyak RM4 juta untuk satu lot, jelas Ramli.

Tiada ulasan: