Rabu, 28 Julai 2010

Isu mansuh diskaun bumiputera: PAS Selangor minta kajian terperinci

Roslan Shahir bin Mohd Shahir

PAS Selangor tidak selesa dengan kenyataan ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berhubung cadangan memansuhkan diskaun Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri Selangor.

Cadangan ini dirasakan terlalu gopoh kerana ia memerlukan kajian dan laporan yang lebih terperinci terutamanya dari segi aspek kemampuan golongan Bumiputera untuk bersaing dengan pihak lain. Selain itu kajian dan laporan yang sama diperlukan untuk membuktikan bahawa keyakinan dan kedatangan pelabur asing akan meningkat hanya jika polisi berkenaan diubah.

PAS Selangor merasakan sebarang perubahan terhadap dasar yang melibatkan golongan Bumiputera khasnya di negeri Selangor mestilah dilakukan dengan memperkenalkan sesuatu yang lebih baik dan menguntungkan golongan berkenaan. Pakatan Rakyat Selangor tidak sepatutnya terlibat dalam memperkenalkan dasar yang menjejaskan bukan hanya kepentingan golongan Bumiputera malah mana-mana kaum sekalipun di negeri Selangor ini.

PAS Selangor menyarankan agar mana-mana cadangan seumpama ini sewajarnya dibincang dan dibahaskan diperingkat Pakatan Rakyat Selangor sebelum ia dilontarkan kepada umum.

*Kenyataan media oleh Roslan Shahir bin Mohd Shahir, selaku Ketua Penerangan PAS Selangor, Badan Perhubungan PAS negeri Selangor.

Tiada ulasan: