Selasa, 13 Julai 2010

Isu Kg Baru: MB Selangor dakwa Dr M dulu takut, kini berani


SHAH ALAM – Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim menyifatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai “penakut” kerana tidak melaksanakan cadangan pembangunan Kampung Baru dengan melibatkan orang bukan Melayu ketika era kepimpinannya selama 22 tahun.

“Cadangan untuk melibatkan orang bukan Melayu adalah satu alternatif tetapi beliau (Dr Mahathir) ketika menjadi perdana menteri takut untuk melaksanakannya.

“Ini kerana cadangan tersebut tidak seiring dengan kehendak majoriti penduduk Kampung Baru yang mahukan pembangunan dijalankan tanpa mereka hilang status tanah tersebut,” kata beliau ketika ditemui wartawan sempena sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan usaha pembangunan semula Kampung Baru iaitu penempatan orang Melayu di ibu negara akan menjadi lebih menarik jika turut melibatkan orang bukan Melayu.

Dengan adanya penyertaan orang bukan Melayu, kata beliau, ia secara tidak langsung akan menjadikan Kampung Baru lebih menarik bukan hanya kepada pelancong asing tetapi juga kepada rakyat tempatan.

“Kita boleh membangunkan Kampung Baru sebagai kawasan komuniti Melayu berniaga tetapi saya rasa ia juga perlu melibatkan sekali orang bukan Melayu untuk ambil bahagian dalam pembangunan tersebut sebab ia akan menjadi lebih menarik.

“Ketika menjadi perdana menteri saya cuba untuk membangunkan Kampung Baru tetapi penduduk membantah,” kata Dr Mahathir.

Khalid (gambar) berkata, beliau dan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr Lo’ Lo’ Ghazali akan mengadakan satu forum bersama penduduk Kampung Baru dalam masa terdekat.

“Kita akan mengadakan forum untuk mencari bagaimana boleh membangunkan Kampung Baru tetapi pada masa sama tidak hilang status Bumiputera,” katanya.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pernah menyebut projek pembangunan di Kampung Baru dimajukan dengan pemilikan hartanah 60 peratus orang Melayu dan 40 peratus kaum lain.

Bagaimanapun beliau kemudian menafikan pendekatan penyertaan bukan Melayu di Kampung Baru.

Beliau berkata kerajaan tidak memaksa pemilik tanah Kampung Baru untuk menerima cadangan membangunkan hartanah berdasarkan kuota 60:40 bagi Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Namun cadangan tersebut ditolak pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru yang bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.

Selain itu, Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru juga membantah cadangan tersebut

Tiada ulasan: