Rabu, 7 Julai 2010

Isu Airbus: MP keliru jawaban timbalan menteri


images Jamilah Kamarudin

KUALA LUMPUR: Kerajaan masih keliru berhubung status sama ada Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) telah diberikan pampasan berhubung kelewatan penyerahan Airbus A380 pertama yang sepatutnya dijadualkan pada Januari 2007.

Menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan), Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat memberitahu sidang Dewan Rakyat, pesawat itu akan diserahkan pada Ogos 2011 tetapi ia kemudian Airbus menundakannya lagi kepada April 2012.

Berikutan itu, pampasan sejumlah RM329 juta telah pun diberikan kepada MAS oleh Airbus.

Hee yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Jelaing bangkit dan bertanya mengenai percanggahan kenyataan daripada Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) MAS,Datuk Tengku Azmil Zahruddin dalam media 28 Jun lalu.

"Kenyataan Azmil berbunyi "kami masih lagi sedang berbincang mengenai pampasan dan kita harap rundingan akan ditamatkan pada akhir tahun".

"Tapi jawapan menteri kata pampasan RM329 juta telah diberikan…saya keliru dengan jawapan menteri," katanya.

Jelaing kemudiannya mempertahankan penjelasannya dan memberi jaminan akan melihat semula perkara itu untuk dimaklumkan kepada dewan.

"Maklumat yang saya dapat setakat ini adalah daripada sumber sah dari pihak MAS. Saya akan kaji semula pampasan ini dan akan maklumkan kepada Dewan nanti," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Hee mengenai kos pengubahsuaian terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang bagi menampung Airbus, Jelaing berkata ia melibatkan kos RM115.5 juta.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga menaiktaraf tiga pintu di bangunan satelit KLIA dan juga menaiktaraf landasan bagi membolehkan pengendalian pesawat jenis A380, katanya.

Tiada ulasan: