Sabtu, 24 Julai 2010

Inkues Teoh Beng Hock: Tiada bunyi jeritan


BERNAMA


SHAH ALAM – Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah yang memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock di sini hari ini memberitahu bahawa tiada sebarang bunyi jeritan kedengaran dan tiada sesiapa dipukul sepanjang beliau ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tan, 40, yang ditahan dan disoal siasat SPRM pada hari yang sama dengan Teoh berkata beliau juga bebas bergerak untuk ke tandas dan minum air sebelum dan selepas selesai disoal siasat oleh pegawai di situ.

Katanya, beliau mula ditahan jam 8 malam pada 15 Julai tahun lepas di rumahnya dan dibebaskan keesokannya pada jam 3 petang.

Menceritakan bagaimana beliau terserempak dengan Teoh, Tan yang juga ahli perniagaan berkata beliau melihat pembantu politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor itu pada jam 5 pagi ketika beliau dalam perjalanan ke tandas.

“Saya nampak dia (Teoh) berjalan mundar mandir di pantri dengan muka mengadap ke lantai. Saya tanya dia ‘Teoh, kamu masih di sini?’, dia tengok saya dan tak balas, saya kemudian ke bilik air terus,” katanya ketika disoal Timbalan

Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas yang membantu Koroner Azmil Muntapha Abas dalam prosiding itu.

Tan juga memberitahu bahawa beliau mendapati ketika itu Teoh tidak mengalami sebarang kecederaan serta tidak mengadu apa-apa.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai, 2009 di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan dalam siasatan berhubung penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor, yang

pejabatnya terletak di bangunan yang sama.

Ketika disoal Ketua Pendakwa SPRM Datuk Abdul Razak Musa adakah pada malam itu (ketika bertemu Teoh) beliau telah memarahi Teoh kerana Teoh menyebabkannya di panggil oleh SPRM, Tan berkata: “Tidak.”

Beliau juga menafikan memarahi Teoh kerana melibatkannya dalam isu tuntutan pembelian bendera sempena hari kemerdekaan serta menafikan marah dengan SRPM kerana beliau terpaksa membayar RM20,000 selepas kalah dalam kes samannya terhadap SPRM.

Tan, ketika disoal Abdul Razak kelihatan beremosi dan sesekali kedengaran suaranya yang agak kasar terutama apabila Abdul Razak memintanya menjawab soalan dengan serius dan tepat.

Tan juga kadang-kala enggan berhenti bercakap, tergelak-gelak dan melontarkan kata-kata seolah-olah memperli Abdul Razak. Beliau beberapa kali ditegur oleh Koroner supaya lebih fokus.

Ketika disoal Abdul Razak berkenaan perjumpaannya dengan Teoh dan dikatakan beliau telah terserempak dengan si mati pada pukul 2.30 pagi bukan seperti didakwanya pada jam 5 pagi, Tan berkata: “Tidak”

Tan juga menafikan beliau ada menjerit ‘ini semua lu punya pasal’ kepada Teoh di dalam tandas sepertimana didakwa oleh Penolong Penguasa SPRM Putrajaya,

Bulkani Paharuddin dalam perbicaraan lalu.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa Teoh ada memintanya untuk membekalkan bendera melalui syarikat milik isterinya (Tan) dan SPRM menahannya untuk menyoal siasat berhubung perkara itu.

Terdahulu, ketika disoal peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, Tan memberitahu pegawai SPRM telah menyoalnya dalam keadaan berdiri selama empat jam dan disoal dengan cara yang kasar.

“Ada pegawai yang cucuk muka saya (bahagian dahi dengan jari) dan cakap ‘you tak faham bahasa ka?’,'you dari China ka’, ‘macam ni ka ahli majlis’. Mereka juga tanya pasal bini (isteri) saya, tetapi mereka tidak percaya dan kata nak

bawa anak bini saya ke situ,” katanya.

Tambahnya, ketika itu timbul persoalan mengapa beliau yang pada awalnya dikatakan sebagai saksi disiasat sedemikian rupa dan beliau tidak dibenarkan pulang sehinggalah keesokannya (16 Julai 2009).

Tan berkata selepas disoal selama empat jam, beliau dibenarkan minum air di pantri dan selepas itu dibenarkan tidur kira-kira jam 2.45 pagi. Beliau ke bilik air untuk kali pertama pada jam 5 pagi (bertembung dengan Teoh) dan kali kedua pada kira-kira jam 7 pagi.

Abdul Razak yang menyoal Tan kemudiannya mencadangkan bahawa keterangannya yang dirinya disoal dalam keadaan berdiri adalah rekaan semata-mata, Tan dengan tegas berkata: “Tidak.”

Terdahulu, di awal prosiding, Koroner Azmil menolak permohonan Abdul Razak untuk memanggil saksi yang mempunyai kaitan dengan invois yang dicetak dari komputer riba Teoh.

Azmil menetapkan 9 Ogos untuk sambung bicara.

Tiada ulasan: