Jumaat, 23 Julai 2010

Idea parti baru cermin Ibrahim kolot, kata Azmin

KUALA LUMPUR — Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menyifatkan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali seperti “katak di bawah tempurung” kerana masih mempunyai pemikiran yang ketinggalan zaman.

Dengan merujuk kepada idea terbaru Perkasa semalam agar Umno dan PAS dibubarkan lalu ditubuhkan parti baru, Azmin memberitahu, Ibrahim masih lagi mengamalkan pemikiran dan pendekatan yang kolot dan ketinggalan zaman.

“Saya kesal dengan kenyataan Ibrahim kerana saya lihat sebagai pemimpin beliau masih mempunyai pemikiran dan pendekatan yang kolot seperti pepatah Melayu ‘katak di bawah tempurung’.

“Saya tidak sangka masih ada pemimpin Melayu yang sikap perkaumannya masih lagi menebal sedangkan dunia sekarang sudah maju ke depan,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sepatutnya sebagai seorang pemimpin kata Azmin, beliau perlu keluar daripada kotak pemikiran lama dan memikirkan cara untuk maju ke depan bukannya dengan berpegang kepada amalan perkauman seperti dahulu.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ibrahim yang mengatakan sebuah parti Melayu yang baru perlu ditubuhkan sebagai pilihan terakhir jika kesemua usaha untuk menyatukan kerjasama PAS dan Umno gagal.

Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas ini berkata, parti baru ini seharusnya mengadaptasikan objektif kedua-dua PAS dan Umno.

“Saya tahu idea ini sesuatu yang provokatif, tetapi perlembagaan untuk satu parti Melayu yang baru, yang menggabungkan matlamat PAS dan Umno boleh dirangka oleh sebuah jawatankuasa pemandu,” kata Ibrahim.

Kata Ibrahim, ia adalah mekanisme menjaga air muka, sekali gus mengelakkan persoalan sama ada PAS harus menyertai Barisan ataupun sebaliknya tidak timbul sama sekali.

“Bubarkan PAS, bubarkan Umno dan semua sertai parti baru,” kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Perkasa semalam.

Azmin berkata apa yang diperlukan rakyat bukan sebuah parti yang bersifat perkauman tapi adalah parti politik yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan Bumiputera.

“Parti politik pelbagai kaum ini akan memperjuangkan dasar negara dengan adil kepada semua rakyat Malaysia dan pada masa mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tunjang negara selama ini.

“Apa guna sebuah parti Melayu sekiranya pemimpin di dalamnya bergelumang dengan rasuah, penyelewengan, tidak menghormati hak asasi manusia da sebagainya,” katanya.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan ini berkata rakyat sebenarnya mahu melihat pemimpin Melayu maju ke depan dengan mengamalkan prinsip-prinsip keadilan dan memartabatkan orang Melayu itu sendiri.

“Ini yang rakyat mahu lihat bukan seperti Perkasa yang dilihat seolah-olah gagal untuk meyakinkan orang Melayu tentang perjuangan mereka,” katanya.

Perkasa datang dengan idea ini ketika Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria mahu Umno dan PAS mengambil langkah membincangkan kerjasama perpaduan.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak yakin bahawa pemimpin PAS mempunyai kebijaksanaan yang tinggi untuk menilai propaganda dan sandiwara yang dimainkan Umno.

“Saya yakin pemimpin PAS yang dipimpin Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan terperangkap dengan apa jua propaganda dimainkan Umno,” katanya.

1 ulasan:

azman kamarul berkata...

Salam perjuangan.

Kepada pendokong dan pencacai perkasa, eloklah kiranya didaftarkan perkasa sebagai pertubuhan politik bagi merealisasikan inspirasi ketua kaum RAJA KATAK IBRAHIM ALI untuk menubuhkan parti baru.

Wahai raja katak, jangan campuri urusan umno atau pas, samada nak gabung atau tidak.Jangan memberi pandangan jumud!

Kalau teringin sangat nak jadi presiden dalam pertubuhan parti politik,daftrlah perkasa sebagai parti politik dan kamu wahai katak jadilah presiden pertama dan mungkin juga sebagai presiden terakhir!