Rabu, 28 Julai 2010

Hukuman Mati: Perspektif Islam

Fadiah Nadwa binti Fikri

Sebagai kesinambungan artikel berkenaan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah di Singapura terhadap Yong Vui Kong, seorang remaja berusia 22 tahun yang merupakan seorang rakyat Malaysia, persoalan justifikasi hukuman mati tidak dapat dipisahkan daripada pandangan agama yang banyak mempengaruhi pandangan umum.

Perdebatan yang berkisar tentang kesalahan yang mewajibkan hukuman mati akan dirujuk secara terus kepada sumber utama perundangan Islam iaitu Al-Quran. Ramai di antara kita yang beranggapan bahawa untuk memanifestasikan kesetiaan dan kepatuhan kepada perintah agama adalah dengan cara mengimplementasi hukuman mati dengan merujuk kepada interpretasi literal teks Al Quran yang berkenaan tanpa sebarang faktor-faktor pengecualian.

Sebarang cubaan untuk membuka ruang-ruang perdebatan berasaskan adab proses perbezaan pendapat akan dilabel sebagai tidak Islamik, mirip budaya Barat dan oleh yang demikian memesongkan.

Dalam Islam, falsafah dalam memartabatkan kemuliaan kejadian manusia dapat dilihat jelas dalam sistem keadilan jenayah di mana prinsip keadilan terhadap kebebasan dan intipati kejadian seorang manusia adalah diletakkan di tempat paling terutama. Prinsip ini sekaligus menepis anggapan salah bahawa kebebasan seseorang individu boleh dikompromi atas nama menjaga kemaslahatan umum dan keselamatan negara daripada bahaya perbuatan jenayah seseorang individu, yang mana boleh dilihat dalam undang-undang berbentuk pencegahan yang menghalalkan tahan tanpa bicara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang pencegahan berkenaan dadah.

Dalam menghuraikan kepentingan falsafah kebebasan manusia, sebagai ilustrasi, seorang individu yang telah melakukan suatu perbuatan jenayah wajib dilepaskan seandainya sistem keadilan jenayah telah gagal untuk mengemukakan bukti di Mahkamah untuk mensabitkan individu tersebut. Intipati prinsip "tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah ini" adalah ekstrak daripada sebuah hadith yang jelas menyatakan kewajipan seorang hakim untuk membebaskan seorang yang bersalah jika beliau tidak dapat dibuktikan bersalah.

Oleh yang demikian, prinsip menjatuhkan hukuman terhadap seseorang individu yang memberi kesan dalam menyekat kebebasan seseorang individu bukanlah sesuatu yang mudah, apatah lagi jika hukuman yang dijatuhkan adalah dengan cara mengambil nyawa individu tersebut.

Penjatuhan hukuman juga adalah wajib untuk dimansuhkan sekiranya sistem keadilan jenayah adalah dicemari dengan elemen berbentuk korupsi badan perundangan yang telah meragut rasa kepercayaan masyarakat dari segi ketelusan dan keadilan terhadap mereka yang mengendalikan sistem jenayah tersebut. Sebarang elemen berbentuk penindasan, diskriminasi terhadap sesebuah bangsa atau jantina oleh pihak berkuasa dan pihak berwajib, dan faktor kemelaratan situasi sosial dan kebajikan seseorang individu akibat ketidakadilan dari segi pengurusan ekonomi negara adalah faktor-faktor yang mempengaruhi proses penggantungan proses penjatuhan hukuman mati.

Sebarang elemen yang meragukan dan memesongkan kita jauh dari prinsip keadilan, contohnya kegagalan kerajaan yang bertanggugjawab untuk menyediakan peguam untuk tertuduh atau kegagalan Mahkamah untuk menyediakan jurubahasa kepada tertuduh yang sekaligus meragut hak tertuduh untuk mendapat satu perbicaraan terbuka dan adil akan secara automatik memansuhkan kesahan sesuatu hukuman mati yang dijatuhkan.

Prinsip ini adalah berkait rapat dengan prinsip keadilan dalam sistem keadilan jenayah di mana beban bukti dalam undang-undang jenayah Islam yang mewajibkan beban pembuktian mencapai tahap yaqin (certainty) dan bukannya sekadar melepasi keraguan munsabah (beyond reasonable doubt). Adalah jelas ditunjukkan daripada syarat beban bukti yang ketat yang diletakkan ini bahawa sistem keadilan jenayah Islam amat berhati-hati dalam menghukum seseorang individu, di mana hukuman itu bukan sahaja menyekat kebebasan seseorang individu malahan juga juga dalam kes yang berat yang melibatkan hukuman mati.

Jika dilihat dari sudut praktikal, pada masa kontemporari ini, beban pembuktian ini adalah tidak akan pernah terpakai kerana kepincangan sistem politik dan perundangan negara-negara yang masih mengamalkan hukuman mati ini.

Jika kita lihat dari sudut emosi, pasti ramai yang berang dan akan terus menyatakan bahawa adalah tidak adil untuk orang yang bersalah dalam melakukan sesuatu jenayah untuk dilepaskan kerana gagal dibuktikan bersalah sedangkan beliau memang bersalah dan hukuman patut dijatuhkan ke atasnya. Apatah lagi terhadap mereka yang melakukan kesalahan yang serius yang mewajibkan hukuman mati.

Prinsip keadilan yang telah sekian lama tersemat dalam ajaran agama akan hilang dari pertimbangan kita, manusia yang mudah lupa dan mudah untuk tidak berlaku adil akibat emosi yang tersasar jauh daripada prinsip keadilan yang telah diwajibkan ke atas kita, umat manusia.

Kita lupa bahawa terdapat banyak faktor luaran yang begitu serius yang perlu ditangani dengan segera demi memartabatkan ketamadunan manusia yang sekian hari dirasuk gila dengan penindasan, kekejaman, kemelaratan dan ketidakadilan. Kita terus lupa bahawa tujuan sistem keadilan jenayah bukan semata-mata untuk menghukum dengan mudah tetapi sistem yang berpaksikan keadilan ini adalah bertujuan untuk mendidik kita untuk berlaku adil walaupun sukar, agar matlamat sebenar keadilan dapat direalisasikan.

Faktor-faktor yang jelas pada pandangan mata kita walaupun kita cuba untuk menafikankanya atas sebab takut dituduh tidak patuh kepada tuntutan agama perlu diambilkira agar objektif agama (maqasid syariah) adalah tercapai dalam mengutarakan mesej agama itu sendiri, iaitu keadilan dan kebaikan untuk sekalian manusia sekaligus berlaku adil terhadap agama itu sendiri.

Prinsip keadilan sistem jenayah adalah untuk mendidik kita untuk berusaha memartabatkan kemulian manusia dengan rasa kasih sayang, simpati dan kemaafan yang diberikan kepada mereka yang tersasar dalam hidup yang juga menjadi mangsa kegagalan sistem politik, sosial dan ekonomi yang dicemari ketidakadilan pemerintah. Usaha berterusan kita untuk memperbetulkan kepincangan ini sekaligus membantu perjuangan kita untuk melahirkan masyarakat sivil yang bertanggungjawab yang mendokong penuh prinsip keadilan, kebebasan dan kemuliaan kejadian manusia selaras dengan tuntutan agama demi kepentingan bersama.

Dalam kesibukan rutin harian kita, Yong Vui Kong (gambar kanan, kanan), seorang remaja rakyat Malaysia yang telah melakukan kesilapan dalam satu fasa hidupnya sedang menghitung hari di mana nyawanya akan hilang dan lenyap seperti minit-minit dan saat-saat yang pantas berlalu ditelan waktu.

Beliau yang telah dinafikan hak untuk memohon pengampunan sedang bertarung dengan harapan yang mencengkam jiwa. Harapan seandainya beliau diberi peluang kedua untuk terus bernyawa di muka bumi Tuhan ini dan menebus kesalahannya dengan membayar kebebasan dirinya di penjara yang bertemankan dinding batu dan kesunyian yang berpanjangan sebagai hukuman atas kesilapan yang telah dilakukan.

Oleh yang demikian, desakan oleh Professor Tariq Ramadan agar hukuman mati diberhentikan perlu disokong oleh semua lapisan masyarakat agar keadilan mesej Islam dapat dicapai dalam usaha kita bersama-sama mengangkat martabat kemuliaan kejadian manusia di bawah prinsip dan falsafah keadilan yang telah diperuntukkan dalam sistem keadilan jenayah.

*Fadiah Nadwa Binti Fikri ialah ahli Lawyers for Liberty dan Setiausaha Kehormat Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: