Ahad, 11 Julai 2010

Hisham: Anwar dikena tindakan jika terbukti jadi alat CIA

BERNAMA



Ketua umum PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati mengancam keselamatan negara selepas dikaitkan menjadi alat kepada agensi perisikan Amerika Syarikat, Agensi Perisikan Pusat (CIA), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya belum mempunyai maklumat dan perlu bergantung kepada bukti untuk mengambil sesuatu tindakan.

"Tak tahulah sama ada (alat) CIA atau tidak, tetapi kita tengok banyak rahsia dia sudah terbongkar.

"Kita sebelum ini tidak tergamak cuba korek (rahsia) kerana cukup-cukuplah mereka sendiri menabur fitnah terhadap pemimpin-pemimpin kita, tetapi kalau mereka tidak berada di atas landasan dan niat jujur akhirnya benda yang tidak baik akan keluar juga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Paya Besar di Kuantan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang penulis blog di New York, Elaine Meinel Supkis yang mendakwa ketua pembangkang itu merupakan alat ciptaan CIA bagi menjaga kepentingan dan perancangan sulit Amerika Syarikat di Malaysia.

Hishammuddin berkata beliau melihat tindak tanduk ketua pembangkang itu ketika ini hanya demi kepentingan politiknya semata-mata.

Katanya wakil-wakil rakyat pembangkang juga telah menyedari agenda peribadi Anwar sehingga memaksa mereka keluar daripada parti itu.

"Saya tengok ini tidak menjejaskan keselamatan negara kerana kita tahu tingkah laku dia macam itu, yang penting tugas dan tanggungjawab saya ialah memastikan negara kita selamat daripada ancaman JI (Jemaah Islamiah), Al Qaeda... mereka (pembangkang) ini hanya berpolitik 24 jam yang akhirnya rakyat akan menilai dan menentukan kedudukan mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan kesemua ketua balai polis di seluruh negara di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Rabu ini bagi mendapatkan maklum balas berhubung kebajikan dan kedudukan anggota polis pada masa ini.

Selain itu, katanya kementerian juga bercadang mewujudkan "Liga Balai" bagi mewujudkan persaingan sihat mencakupi pelbagai kategori di kalangan balai-balai polis di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan peruntukan bagi perkara tersebut dilaksanakan, katanya.


Tiada ulasan: