Jumaat, 16 Julai 2010

Harakah tidak terbit hari ini

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Harakah tidak akan berada di pasaran untuk keluaran hari ini dan hanya akan berada di pasaran semula Isnin depan, kata Pengarah Urusannya Datuk Kamarudin Jaffar.

Langkah ini diambil bagi menghormati Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas perbincangan beliau dan Pengerusi Harakah, Datuk Mustafa Ali dengan Ketua Setiausaha dan pegawai kanan KDN baru-baru ini.

(Gambar: Notis yang ditampal di depan pejabat Harakah, Jalan Pahang Barat)

Harakah biasanya boleh didapati di pasaran pada hari Khamis untuk pembaca Lembah Klang manakala kawasan lain selewat-lewatnya hari Jumaat.

Untuk edisi Isnin pula, ia akan mula berada di pasaran hari Ahad di Lembah Klang dan hari Isnin untuk kawasan luar Lembah Klang.

Ekoran isu permit, Harakah membatalkan keluarannya untuk satu isu iaitu edisi Jumaat dan akan berada balik di pasaran Isnin depan selepas menerima permit baru dari KDN.

Menurut Kamarudin, KDN berjanji akan mengeluarkan permit baru itu hari ini (Khamis) selepas tempoh permit yang ada tamat 7 Julai lepas.

Di pejabat Harakah Jalan Pahang Barat hari ini ditampalkan notis khas bahawa Harakah edisi Jumaat tidak akan diterbitkan. Ekoran itu satu pertemuan dengan pengedar Harakah akan diadakan petang Jumaat ini bagi membincangkan perkara itu.

Pada sebelah pagi Jumaat, Pengerusi Harakah, Datuk Mustafa akan mengadakan satu sidang media khas mengenainya.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab Samad dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini memaklumkan permit Harakah telah diluluskan.

Ia berikutan dari penerbitan Harakah telah memberikan perhatian yang serius terhadap Surat Tunjuk Sebab yang dikeluarkan oleh Kementerian ini dan telah menunjukkan kerjasama yang baik kepada Kementerian.

Pengerusi Jemaah Pengarah Harakah, Datuk Mustafa bin Ali dan Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin bin Jaffar telah datang berjumpa Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri pada 12 Julai 2010 (Isnin) untuk memberikan penjelasan.

Pihak penerbitan Harakah juga telah menjawab Surat Tunjuk Sebab Kementerian pada 13 Julai 2010 (Selasa) dengan mengemukakan penjelasan serta beberapa akujanji.

Dalam pada itu, para pengarang kanan Harakah, Suara Keadilan dan Rocket dijangka akan menziarahi Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman di rumahnya petang ini.

Lutfi kini masih berehat di rumahnya dekat Ampang selepas menjalani rawatan pintasan jantung dua bulan lalu.

Dalam pertemuan ini isu permit akhbar masing-masing dijangka menjadi topik perbualan mereka.

Tiada ulasan: