Ahad, 11 Julai 2010

Harakah terbit dengan tajuk ‘Retorik takutkan Melayu’

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Akhbar dwimingguan Harakah PAS terbit seperti biasa hari ini meskipun permit penerbitannya yang berakhir 7 Julai lalu belum diperbaharui Kementerian Dalam Negeri.

Kementerian Dalam Negeri masih mempertimbangkan permohonan permit akhbar berkenaan, yang dikemukakan tiga bulan yang lalu.

The Malaysian Insider difahamkan Kementerian Dalam Negeri menangguhkan keputusan memperbaharui permit akhbar itu sementara menunggu penjelasan surat tunjuk sebab daripada pengurusan Harakah.

Dalam laporan muka depannya yang muncul di pasaran hari ini, edisi Harakah 12-15 Julai berkata, para pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa orang Melayu akan berhadapan dengan kemungkinan hilang kuasa politik jika terus berpecah-belah sesama sendiri lebih bertujuan untuk meraih sokongan Melayu.

Akhbar itu berkata, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno cuba menakutkan orang Melayu bahawa mereka kononnya akan kehilangan kuasa jika Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara.

Ia menambah, Umno memainkan isu Melayu terancam dan hilang kuasa tidak lagi sesuai dengan perkembangan politik hari ini kerana rakyat khususnya generasi muda boleh menilai kemampuan Umno dan BN memerintah negara sejak 50 tahun lalu.

“PAS berkeyakinan pendekatan yang dibawa Pakatan Rakyat berteraskan keadilan dan pembelaan untuk semua kaum; dan hak-hak orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan akan terus terpelihara.

“Pemerintahan PAS di Kelantan dan Kedah serta Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang membuktikan kedudukan Melayu dari sudut ekonomi dan sosial tetap terpelihara tanpa perlu bergantung kepada Umno,” katanya.

Akhbar itu juga berkata, kenyataan Muhyiddin jelas bermotif politik dan sengaja mencetuskan rasa kebimbangan dan ketakutan kaum Melayu terhadap perubahan yang mungkin berlaku pada pilihan raya umum akan datang,” kata akhbar itu.

Harakah menjawab surat tunjuk sebab yang diterimanya daripada Kementerian Dalam Negeri, Jumaat lalu.

Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, surat itu diserahkan oleh Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya kepada Timbalan Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al- Quran kementerian Abdul Razak Abdul Latif.

Khamis lalu, Kementerian Dalam Negeri menghantar surat tunjuk sebab berhubung tiga perkara iaitu lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada kementerian setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan iaitu di pejabat dan markas PAS sahaja.

Kamaruddin berkata akhbar berkenaan masih dicetak dan diedarkan hari ini memandangkan pihaknya telah membuat permohonan memperbaharui permit.

“Biasanya, sementara menunggu keputusan KDN mengenai pembaharuan permit sepertimana penerbitan lain, kami dibenarkan membuat penerbitan sehingga keputusan permohonan diperolehi,” katanya.

Dalam pada itu tinjauan The Malaysian Insider mendapati Suara Keadilan masih belum kelihatan di pasaran walaupun pengurusannya memberitahu sebelum ini bahawa ia akan dipasarkan seperti biasa.

Kementerian Dalam Negeri melarang PKR menerbitkan akhbar mingguan itu sementara permitnya diperbaharui.

Tiada ulasan: