Jumaat, 9 Julai 2010

Harakah Dakwa Tidak Terima Surat Tunjuk Sebab

TV SELANGOR


Akhbar Lidah Rasmi PAS, Harakah akan terus dicetak dan diedarkan seperti biasa meskipun permitnya sudah tamat semalam.

Selepas akhbar rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan, kini giliran Harakah berdepan dengan risiko digantung permit.

Apa yang pelik, alasan yang diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) saling tidak tumpah dengan alasan yang gunakan untuk menekan Suara Keadilan iaitu tidak menghantar surat tunjuk sebab kepada KDN.

Namun, Harakah sama seperti Suara Keadilan menyatakan mereka langsung tidak mendapat surat tunjuk sebab yang dikatakan KDN.

Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong memberitahu TvSelangor pihak editorial akhbar itu sudah dipanggil KDN untuk memberi penjelasan berhubung kegagalan mereka menghantar lapan salinan bagi setiap keluaran akhbar itu.

Zulkifli menjelaskan masalah ini timbul apabila melibatkan faktor logistik.

“Harakah sudah terangkan tentang perkara ini. Oleh kerana pejabat KDN di Putrajaya dan pejabat Harakah di Kuala Lumpur, takkan kita nak hantar terus pada merekakan ? KDN sebelum ini bercadang nak datang sendiri ambil surat khabar tu, bagi kita tidak ada masalah,” kata Zulkifli.

Zulkifli beranggapan modus operandi KDN secara jelas menunjukkan kementerian itu diarahkan untuk menekan akhbar alternatif pembangkang.

“Kita lihat ini sebagai tekanan kepada surat khabar pembangkang,” ujarnya.

Beliau berkata, hasil perjumpaan editorial Harakah dengan wakil KDN mendapati tiada apa- apa laporan atau artikel yang sensitif atau berunsur fitnah.

“Dari segi kandungan KDN kata tidak ada masalah. Yang mana isu sensitive, yang mana tidak sensitif,” katanya lagi.

“Salah satu benda yang KDN minta dengan ketua pengarah Harakah. KDN berhasrat mahu jumpa wakil Harakah setiap bulan. Ini perkara yang melucukan. Ini satu perbuatan menekan,” tambahnya lagi.

Harakah dilihat bakal menerima tindakan yang sama iaitu digantung permitnya sepertimana Suara Keadilan.

Permit Suara Keadilan telah digantung sebaik sahaja melaporkan isu felda bankrap pada keluarannya sebelum ini.

Tiada ulasan: