Rabu, 28 Julai 2010

Hantar memo tuntut mansuh Isa

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Majlis Peguam Malaysia mengemukakan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menuntut Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) dan undang-undang lain yang membenarkan penahanan tanpa bicara dimansuhkan.

Antara undang-undang lain termasuk Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Buang Negeri 1959.

Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, memorandum itu menjelaskan bagaimana undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagaimana diperuntukkan dalam Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948 dan konvensyen antarabangsa lain.

“Sifat kuno dalam perundangan itu perlu ditarik balik dan kuasa menahan tanpa bicara serta menyekat pergerakan bebas tidak perlu kerana akan menjurus kepada sikap acuh tak acuh dalam siasatan serta menyalahi undang-undang.

“Pada 1 Ogos 2010 ini, genaplah 50 tahun berkuatkuasanya AKDN 1960 yang membenarkan kuasa menahan seseorang tanpa perlu dibicarakan sehinggalah dibuktikan bersalah.

“Sekaranglah masanya untuk membebaskan rakyat Malaysia dari undang-undang yang tidak adil yang menyekat kebebasan rakyat bergerak di dalam kawasan sempadannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan kepada :Sinar Harian,: semalam.

Menurutnya, peruntukan undang-undang Malaysia melalui Kanun Keseksaan, Kanun Acara Jenayah, peruntukkan imigresen, perundangan pencegahan pengubahan wang dan pembiayaan keganasan memberi kuasa penuh kepada agensi penguatkuasaan undang-undang serta membolehkan seseorang didakwa mengikut proses undang-undang sewajarnya.

“Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu 2010 hingga 2013, Malaysia kini terikat dengan tanggungjawab menegakkan suatu piawaian hak asasi tertinggi yang akan dicapai melalui pemansuhan kesemua undang-undang ini.

Memorandum itu turut membandingkan undang-undang anti keganasan dalam bidang kuasa lain seperti di Australia, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang kesemuanya menyediakan peruntukkan menyeluruh bagi melindungi keselamatan negara masing-masing tanpa mengabaikan ciri-ciri perlindungan kebebasan individu serta hak asasi manusia.

“Ini telah dipastikan melalui gabungan beberapa ciri seperti klausa ‘sunset’ automatik, pengawasan kehakiman dengan peruntukkan perahsiaan dan hak mendapatkan khidmat guaman.

Undang-undang Malaysia seharusnya turut memperuntukkan perlindungan yang sama,” katanya.

Tiada ulasan: