Sabtu, 17 Julai 2010

GMI, Suaram dakwa satu lagi suspek pengganas ditahan ISA

KUALA LUMPUR — Kumpulan hak asasi tempatan mendakwa seorang lelaki yang baru pulang dari Thailand telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua hari lalu atas dakwaan terlibat dalam aktiviti keganasan antarabangsa.

Kumpulan itu mendakwa bahawa dia ditahan ekoran tekanan antarabangsa untuk menangani keganasan.

“Mohamad Fadzullah Abbul Razak, 28, ditahan pada 15 Julai selepas dia kembali ke Malaysia dari Thailand. Dia didakwa terlibat dalam rangkaian keganasan antarabangsa,” kata kumpulan hak asasi manusia GMI dan Suaram dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan hari ini.

“GMI percaya bahawa penahanan terbaru ini adalah respons kepada tekanan antarabangsa terhadap ancaman keganasan di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Bagaimanapun GMI dan Suaram mendakwa tiada apa yang dapat disahkan buat masa sekarang.

Awal Januari lalu polis menahan 10 lelaki, didakwa anggota kumpulan keganasan serantau Jamaah Islamiah (JI) dan didakwa mencuba untuk merosakkan rumah ibadat bukan Islam di negara ini.

Kesemua mereka telah dihantar pulang ke negara masing-masing kecuali Azzahari Murad yang diletakkan di bawah tahanan kediaman terhad di Petaling Jaya.

Tiada ulasan: