Khamis, 15 Julai 2010

Gerakan tidak efektif, Umno tak boleh pakai" – Tan


tkk-1 Oleh Jamilah Kamarudin

PETALING JAYA: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kini dianggap tidak lagi relevan berikutan kegagalannya memenangi undian rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) 2008.

Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa PKR Pusat Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, Presidennya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak lagi efektif dalam menerajui kepimpinan parti itu sehingga Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP.

"Sebagai menteri kabinet yang bertanggungjawab menjaga Petunjuk Prestasi Utama (KPI), beliau gagal dalam KPInya sendiri apabila kalah teruk dalam PRU 2008 sehingga Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP.

"Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang selama empat penggal, beliau hilang kepercayaan rakyat setelah tewas dalam pilihan raya dengan majoriti 10,000 undi.

"Bagi saya KPI dalam menentukan sesebuah parti itu efektif atau tidak, presidennya perlu menang dalam pilihanraya, namun ia tidak lagi berlaku kepada Koh," katanya ketika ditemui Free Malaysia Today.

Tan yang juga bekas pemimpin Gerakan dan menyertai PKR pada tahun 2008 berkata, Gerakan juga dianggap tidak lagi efektif sebagai salah satu parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) yang berperanan untuk menarik undi terutamanya daripada kaum Cina.

Malah katanya Gerakan, sebagai parti yang berbilang kaum pada suatu ketika dahulu, kini sudah semakin hilang arah tujunya, berikutan daripada penguasaan Umno dalam BN.

Ini kerana dakwa Tan semasa beliau masih lagi menjadi pemimpin dalam Gerakan, terdapat beberapa perkara yang cuba disuarakan dalam parti itu namun tidak diendahkan.

"Umno tidak boleh pakai. Apabila ada sesuatu isu yang kami utarakan seperti kewajaran Akta ISA dimansuhkan, mereka (Umno) tidak berminat.

Mulut pemimpin kami ‘ditutup’

"MCA, PPP juga pernah cuba..tapi buang masa sahaja sebab mulut pemimpin kami ‘ditutup’ apabila Umno sudah mula membuat keputusannya sendiri.

"Mereka (parti komponen lain dalam BN) hanya gunakan BN untuk menyokong parti mereka sahaja," katanya.

Menyelar peranan Umno yang menguasai BN, Tan berkata Umno juga kini sudah lari daripada konsep perjuangan asal terutamanya membela nasib golongan miskin dan yang memerlukan.

"Umno kini hanya ada dua perjuangan, iaitu menggasak dan menyapu keuntungan serta memainkan politik perkauman sempit.

"Umno tidak boleh ‘pakai’ dalam semuanya, termasuk rasuah dan ketelusan dalam pilihan raya. Mereka hanya memburu kontrak besar bagi golongan atasan, dan kontrak kecil bagi golongan pertengahan.

"Atas sebab inilah masyarakat Cina sekarang sudah lagi tidak mempercayai BN dan parti komponennya yang lain," katanya.

Tiada ulasan: