Jumaat, 16 Julai 2010

Felda: Anak akan jumpa Razaleigh, PAC

Nazri Abdullah

PUTRAJAYA: Selepas membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan Felda, Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah untuk penubuhan kaukus di Parlimen.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman berkata, pihaknya mahu berjumpa dengan Razaleigh kerana veteran Umno itu adalah antara orang yang terlibat dengan penubuhan Felda.

"Dia (Tengku Razaleigh) masih hidup, dia juga Ahli Parlimen dan kawasan yang dia wakili juga di Gua Musang adalah kawasan Felda.

"Jadi kita akan berjumpa dengan Yang Berhormat Mulia Tengku Razaleigh, dan memohon beliau mempengerusikan kaukus di peringkat parlimen berhubung Felda," katanya.

Selain itu, mereka juga akan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi memohon jawatankuasa itu menyiasat laporan dakwaan penyelewengan Felda tersebut.

Beliau menyatakan demikian selepas membuat laporan di pejabat SPRM di sini, pagi ini.

Hadir bersama beliau beberapa wakil peneroka Felda dari Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah serta ahli jawatankuasa Anak termasuk Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Laporan SPRM tersebut dibuat berikutan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa kemerosotan rizab tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada 2009 ekoran RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula, termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil, RM603 juta pinjaman pembesaran rumah peneroka, RM662 juta untuk bagunan baru Menara Felda.

Bagaimanapun, Anak berpendapat banyak keraguan di sebalik penjelasan tersebut.

"Saya tidak boleh ceritakan secara terperinci, tetapi saya nak maklumkan ia berkaitan kenyataan Datuk Ahmad Maslan di Parlimen," katanya.

Menurutnya, antara dokumen tambahan yang diserahkan adalah berhubung dakwaan pecah amanah, salahguna kuasa dan penyelewengan, antaranya di Felda Sungai Buaya dan Gedangsa di Hulu Selangor dan Felda Lurah Bilut di Pahang.

Beliau juga bersedia menampilkan saksi terhadap setiap dakwaan yang dibuat.

Mengulas isu debat yang ditolak, Mazlan yang juga AJK PAS Pusat berkata, beliau kini bersetuju untuk berdialog seperti dikehendaki Ahmad dengan syarat ianya diadakan secara terbuka.

"Dia mintak secara tertutup, kalau tertutup saya tidak berhasrat bertemu beliau. Kalau terbuka, saya akan bawa warga Felda seluruh negara untuk bertanya terus kepada Datuk Ahmad Maslan," jelasnya.

Tiada ulasan: