Sabtu, 10 Julai 2010

ESQ Tetap Diteruskan Di 13 Negeri Lain

TV SELANGOR


Motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd akan tetap diteruskan di beberapa negeri lain biarpun Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan telah mengharamkannya daripada terus beroperasi di Wilayah Persekutuan.

Pengurus Besar ESQ, Marhani Yusoff berkata setakat ini masih terdapat 13 buah negeri yang membenarkan program ESQ itu dianjurkan walaupun ada dakwaan yang mengatakan ia mendukung fahaman liberal dan ajarannya yang menyeleweng daripada akidah.

“Sebenarnya setakat ini masih tidak ada apa-apa cuma larangan daripada Wilayah Persekutuan sahaja, 13 negeri lain okay, kami sudah dapat surat daripada beberapa negeri seebanrnya, ESQ boleh berjalan macam biasa.Jadi antara sebab-sebab, kita sudah dapat itu semakin bertambah dan semalam ada empat surat rasanya dan hari tambah satu surat lagi sudah daripada negeri Johor dan Melaka.

“Kita berjalan seperti biasa, tiada masalah dan cuma sekarang ini bila Wilayah Persekutuan sudah haramkan, kita hormat apa keputusan Wilayah dan kita tarik keluar daripada Wilayah itu. Kalau tahun ini kita ada empat latihan ESQ di dalam Wilayah Persekutuan, kita buat sekarang ini di luar Wilayah nampaknya,” katanya.

Pada 16 Jun lepas, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan syarak dan akidah.

Marhani berkata ketika mesyuarat jawatankuasa tersebut diadakan pada 14 April lalu, ia turut dihadiri oleh mantan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mustafa Abdul Rahman, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Kadir Talib, mantan Mufti Kedah, Datuk Hasbullah Abdul Halim, mantan Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot dan Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Sunnah, Univerisiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Adnan Mohd Yusof.

Bagaimanapun pada 10 Jun lepas, Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh mengeluarkan fatwa bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh syarikat berkenaan dan apa-apa ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.

Marhani bagaimanapun berkata semasa perbincangan tersebut diadakan Wan Zahidi ttidak hadir dan hanya menghantarkan wakil, namun tiada sebarang pertanyaan yang dikemukakan oleh wakilnya apabila kesemua modul dibentangkan.

“Sampailah pada 14 April 2010 hari itu, kami sudah persembahkan sebab sudah banyak isu ini dan Majlis Fatwa panggil Dr.Ary perjelaskan apa isu liberalisme yang diangkat semua itu. Jadi kita sudah jelaskan semua kepada Mufti dan Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang hadir tetepi Mufti Wilayah tiada di situ.

“Tidak silap saya, timbalan dia ada tetapi tidak ada tanya sebarang persolan langsung sebab masa sesi itu, Pengasas ESQ, Dr. Ary Ginanjar memberi sebab dan penjelasan pada saya memang sangat komprhensif lah,” katanya.

ESQ Leadership Center adalah lembaga sumber daya manusia yang bertujuan membentuk nilai dan karakter melalui penggabungan tiga potensi manusia melibatkan kecerdasan intelektual, emosional dan spiritual.

Jika selama ini, teori pengembangan sumber daya manusia dan kepimimpinan diberi fokus terhadap nilai-nilai spiritual maka Pengasasnya Dr. Ary Ginanjar membawa nilai-nilai spiritual tersebut ke dalam latihan yang digagasnya.

Setelah 10 tahun berdiri, sejak 16 Mei 2000 sehingga saat ini jumlah alumni ESQ telah mencapai lebih dari 850 000 dan terus bertambah pesertanya.

Malah sebelum ini , Wakil Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahwa modul ESQ sesuai diserapkan ke dalam modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau turut berkata selain ia akan diserapkan ke dalam PLKN, ESQ turut akan diserapkan ke dalam Umno ekoran ia amat bertepatan dilaksanakan bagi mengatasi perpecahan dalam UMNO yang terjadi akibat rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin.

Tiada ulasan: