Sabtu, 24 Julai 2010

ESQ: Jakim jangkakan fatwa negeri dalam waktu terdekat

KUALA LUMPUR — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjangkakan majlis-majlis agama negeri akan mengeluarkan fatwa masing-masing susulan kekeliruan yang timbul selepas keputusan mengharamkan program ESQ yang diambil Wilayah Persektuan bulan lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata beliau menjangkakan fatwa negeri-negeri akan dikeluarkan dalam waktu terdekat.

“Fatwa tertakluk kepada pentadbiran negeri, jadi negeri-negeri ada bidang kuasa, dijangka akan keluarkan fatwa mereka mengenai isu,” kata Wan Mohamad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketika ditanya sama ada negeri-negeri akan mengadakan perbincangan khas mengenai fatwa ESQ, Wan Mohamad berkata, beliau merasakan negeri-negeri akan membincangkan perkara-perkara lain sekali.

Bagaimanapun Wan Mohamad menegaskan, keputusan diambil Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu ini adalah hak dan kuasa beliau.

Jelas beliau, lazimnya negeri-negeri akan mengikuti fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Kalau ikut amalan sekarang, pengalaman lalu, negeri-negeri jarang menolak... memang jarang tolak Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, mufti Wilayah Persekutuan buat kajian mereka, kami pun ada menjalankan kajian dan ia juga digunakan,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di negara ini dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik oleh ESQ.

Pengerusi jawatankuasa itu Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata keputusan itu dibuat setelah muzakarah yang bersidang pada 16 Jun lalu berpuas hati dan berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus tersebut boleh diperbetul dan diperjelaskan.

Katanya muzakarah turut memutuskan pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti dan perlakuan yang boleh menimbulkan keraguan atau yang boleh ditafsirkan sebagai bertentangan dengan syariat Islam.

“Sepertimana yang termaktub dalam undang-undang, kuasa untuk mengeluarkan fatwa adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

“Muzakarah menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri termasuklah fatwa mengenai ESQ yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya ketika mengumumkan keputusan mengenai status ESQ.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul kursus motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd itu kerana mendapati ajarannya menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

ESQ yang ditubuhkan di negara ini pada 2006 merupakan sebuah syarikat yang menjalankan latihan modal insan dan ia diasaskan oleh warga Indonesia, Dr Ary Ginanjar Agustian.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim sebelum ini memberitahu bahawa Jakim akan meneliti semula program motivasi anjuran ESQ Leadership Center yang diharamkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kerana dikatakan mendukung fahaman liberalisme.

Mashitah berkata, Jakim akan meneliti dan mendalami modul ESQ terlebih dahulu untuk melihat dengan lebih jelas apa yang disifatkan sebagai menyeleweng itu.

Setakat ini lima negeri telah memutuskan untuk membenarkan ESQ mengadakan kursus motivasi di negeri itu kerana konsep dibawa syarikat berkenaan tidak bercanggah dengan syarak dan akidah Islam.

Melaka adalah negeri kelima membenarkan program berkenaan.

Sebelum ini Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Pahang telah memberi kebenaran kepada ESQ.

Tiada ulasan: