Khamis, 15 Julai 2010

Elaun ADUN BN dipotong RM1,500

Jimadie Shah Othman

DUN Selangor meluluskan usul memotong elaun khas ADUN BN Datuk Mohd Satim Diman (Seri Serdang) setelah didapati bersalah menghina dewan.

Keputusan itu dibuat ekoran kegagalannya hadir dalam sesi pendengaran jawatankuasa hak dan kebebasan walaupun telah diperintahkan berbuat demikian.

Keputusan itu dicapai setelah speaker membuat pengundian suara sebentar terhadap cadangan jawatankuasa itu sebentar tadi sebelem dewan ditangguhnya pada jam 4.30 petang.

Usul menerima penyata jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Selangor bagi mengesyorkan hukuman kepada Mohd Satim itu dibentangkan oleh ADUN Bukit Tunku Lau Weng San.

Ia merupakan usul terakhir sepanjang empat hari DUN Selangor bersidang pada sesi ini.

Menurut speaker Teng Chang Kim, tindakan itu dianggap sebagai menghina dewan menurut Perkara 76 Peraturan Tetap DUN Selangor.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan melanggar hak dan kebebasan dewan berhubung kenyataannya mengenai menteri besar semasa membahaskan Bajet Selangor 2010 pada November tahun lalu, Mohd Satim didapati tidak bersalah.

Dalam sidang media selepas itu, Teng menjelaskan sesi pendengaran berhubung kes itu dijalankan walaupun tanpa kehadiran Mohd Satim.

Bagaimanapun, tambahnya, Khalid diwakili peguamnya Malik Imtiaz.

Teng berkata, hasil keterangan dalam sesi tersebut, jawankuasa mendapati apa yang didakwa Mohd Satim dalam dewan tidak salah walaupun tidak menggambarkan isu sebenar secara menyeluruh.

"Tetapi kerana enggan hadir sesi pendengaran, beliau dihukum denda RM1,500 yang dipotong daripada elaun khasnya," kata Teng.

Tiada ulasan: