Rabu, 14 Julai 2010

Dr Pornthip Sambung Keterangan 18 Ogos

SHAH ALAM: Pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojasunan akan menyambung semula keterangannya dalam prosiding inkues siasatan kematian pembantu politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock pada 18 Ogos ini.

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan tarikh itu pada Rabu, selepas jaminan bahawa Pornthip bersedia untuk hadir di Mahkamah Koroner dimaklumkan peguam Gobind Singh Deo sebaik sahaja prosiding bermula.

“Pornthip telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Keadilan Thailand berhubung permohonan yang dibuat Kerajaan Negeri Selangor agar beliau hadir.

“Justeru itu, pihak kami ingin menarik semula permohonan supaya Pornthip memberi keterangan secara sidang video dari negara tersebut,” kata Gobind yang bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga Beng Hock.

Azmil Muntapha membenarkan permohonan itu selepas pihak-pihak yang terlibat tidak mempunyai bantahan dengan perkembangan terbaru itu.

Sementara menanti kedatangan Pornthip, prosiding akan diteruskan pada 23 Julai ini dengan keterangan beberapa saksi termasuk Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah dan pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal.

Pada prosiding itu juga, Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa memaklumkan bahawa terdapat rakaman percakapan oleh pegawai penyiasat suruhanjaya tersebut.

Rakaman tersebut melibatkan empat pemilik syarikat yang terdapat dalam senarai sebut harga yang diperoleh daripada komputer riba Beng Hock. Perkara ini dibantah oleh Gobind kerana berpendapat perkara itu tidak sepatutnya berlaku.

"Kenyataan itu perlu diserahkan kepada kami semua sebelum mahkamah membuat keputusan. Perkara ini meragukan kerana kami patut dimaklumkan mengenai kenyataan tersebut.” tambahnya.

Prosiding inkues bermula selepas Beng Hock, 30, yang merupakan pembantu politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ditemui mati di tingkat lima, Plaza Masalam, Shah Alam pada 16 Julai 2009.

Kematiannnya menimbulkan persoalan kerana beberapa jam sebelum itu dia disoal di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan wang peruntukkan Kerajaan Negeri Selangor.

Adik Beng Hock, Teoh Lee Lan, 26, memberitahu pihak media bahawa keluarganya akan mengadakan majlis memperingati ulang tahun kematian Beng Hock yang akan genap setahun Jumaat ini.

"Keluarga kami masih bersedih dengan kematian Beng Hock. Kami ingin inkues ini segera selesai, tetapi dalam masa yang sama kami tidak mahu dijalankan dengan tergesa-gesa," tambahnya.

Tiada ulasan: