Rabu, 14 Julai 2010

DPPNS serah memo skandal Pegawai Kewangan Negeri


IMG00283-20100713-1310 Di sekitar DUN Selangor

Oleh Qayum Rahman

SHAH ALAM: Seramai 30 ahli Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) hadir di sidang DUN Selangor untuk menyampaikan memorandum bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai skandal kewangan melibatkan seorang pegawai kewangan kerajaan negeri Selangor.

Ketuanya Hasbullah Mohd Ridzuan berkata, "tujuan pemuda PAS Selangor menyerah memoramdum tersebut ialah untuk mendapat respon menteri besar tentang skandal kewangan sebanyak RM3 juta itu."

Menurutnya, blog ‘Skandalselangor.blogspot.com‘ mendakwa Pegawai Kewangan Negeri Datuk Mohd Arif bin Ab Rahman telah melakukan penyelewengan dan salah guna kuasa dengan membelakangkan peraturan kerajaan negeri yang sedia ada.

Katanya, pegawai berkenaan telah membuat pelantikan kontraktor secara terus tanpa melalui kerajaan negeri dan perkara tersebut bertentangan dengan surat pekeliling perbendaharaan negeri Selangor.

Tambah beliau, kontraktor tersebut yang dilantik dalam satu projek penyelengaraan parit dan longkang di kawasan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) juga tidak mendaftar dibawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor di mana akan menimbulkan rasa puas hati daripada kontraktor-kontraktor lain yang berdaftar.

Kerajaan negeri harus bersikap telus

"Menteri Besar perlu memberi penjelasan mengenai skandal pegawai yang terlibat supaya kerajaan negeri bersikap telus dan dedahkan perkara ini untuk pengetahuan rakyat.

"Tan Sri Khalid perlu peka mengenai penyelewengan yang berlaku dan menganggap ianya sebagai satu isu penting kepada kerajaan negeri," jelasnya di perkarangan lobi sidang DUN hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri harus menyiasat skandal terbabit untuk memastikan kebenarannya agar kerajaan negeri tidak akan dipersalahkan nanti.

Hasbullah juga berkata, Pemuda PAS memohon agar skandal penyelewengan pegawai berkenaan dihadapkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawab dan Ketulusan (Selcat) untuk memastikan imej dan reputasi kakitangan kerajaan negeri sentiasa bersih.

"Pemuda PAS Selangor memandang serius terhadap skandal ini yang mampu memburukkan imej kerajaan negeri termasuk imej peribadi Tan Sri Khalid sendiri jika terus dibiarkan.

"Kerjasama dari kerajaan negeri untuk menjalankan penyiasatan dan tindakan oleh Tan Sri Khalid sendiri amatlah di hargai supaya Selangor bebas dari rasuah dan sebarang bentuk penyelewengan," katanya.

Tiada ulasan: