Rabu, 7 Julai 2010

Diklasifikasi perjanjian air: PR, MTUC rancang "roadshow"

Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan menganjurkan "roadshow" untuk menerangkan kepada rakyat mengenai keputusan Mahkamah Tinggi untuk mendedahkan maklumat mengenai konsesi perjanjian air dan laporan auditnya kepada orang ramai.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah itu, Hadhariah Syed Ismail, memutuskan demikian meskipun penangguhan atas keputusan tersebut telah diperolehi oleh Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, sementara menunggu rayuan.

Menurut Ahli Parlimen DAP-Klang Charles Santiago, pesuruhjaya kehakiman yang membuat keputusan bersejarah itu secara jelas menerangkan bahawa deklasifikasi dokumen-dokumen "tidak mendatangkan kesan buruk kepada keselamatan dan kepentingan awam".

Ketika membaca dokumen penghakiman sepanjang 19 muka surat itu oleh Hadhariah, Santiago berkata, dokumen itu tidak lagi boleh dianggap sebagai rahsia kerana terdapat beberapa isu yang perlu ditangani.

"Beliau juga memberitahu bahawa pendedahan dokumen itu ialah untuk kepentingan awam mengenai tugas dan tanggungjawab kerajaan termasuk untuk menggalakkan perbincangan menyentuh hal ehwal orang awam," kata Santiago kepada pemberita di Parlimen semalam.

Lebih penting katanya, pesuruhjaya kehakiman itu memberitahu adalah tidak bersesuaian dengan matlamat Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang digunakan oleh responden untuk mengswastakan perkhidmatan air dan menaikkan kadar tarif sesuka hati.

"Ini bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik, kebertanggungjawaban dan ketelusan serta kepentingan rakyat harus diberi keutamaan," kata Santiago, memetik Hadhariah dalam penghakimannya.

"Bagaimanapun, nasib baik kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan itu dan permohonan untuk penangguhan diluluskan. Mereka kini mempunyai masa lapan minggu untuk memfailkan rayuan," katanya.

Minggu lalu, pesuruhjaya kehakiman telah mengarahkan pendedahan laporan audit dan perjanjian konsesi air yang ditandatangani di antara kerajaan pusat, kerajaan negeri Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Sesalinan penghakiman akan diterjemah dan diedarkan

Sementara itu, Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud berkata, "roadshow" itu, yang dijangka bermula dalam tempuh dua minggu adalah bergantung kepada penghakiman, dalam usaha untuk membuka minda orang ramai mengenai pentingnya maklumat itu diklasifikasikan.

Beliau juga berkata sesalinan penghakiman itu akan diterjemah dan diedarkan kepada orang ramai.

"Kami akan terjemahkan dokumen itu dalam bahasa Mandarin, Bahasa Malaysia dan Tamil, jika boleh. Kami akan lakukan segera dan edar kepada orang ramai supaya mereka tahu mengenai keputusan mahkamah," kata Syed Shahir.

Roadshow" itu tambahnya, tidak terhad di negeri Selangor sahaja. Kami akan berkempen di seluruh negara mengenai pentingnya kebebasan maklumat," katanya.

"Kami juga akan menganjurkan perhimpunan secara besar-besaran di mana anggota masyarakat yang mewakili berbagai lapisan akan bercakap mengenai perjanjian air ini dan laporan audit serta bagi mendesak kebebasan maklumat," kata Santiago.


Tiada ulasan: