Khamis, 29 Julai 2010

DHPP Perak dilancar 31 Julai

Oleh Staf FMT

IPOH: PAS Perak yakin dengan pelancaran Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri Sabtu ini, parti akan lebih kuat bagi menawan kembali negeri itu yang dirampas oleh Umno-Barisan Nasional (BN) melalui cara yang tidak demokratik.

Setiausaha PAS Perak Misbahul Munir Masduki berkata, PAS negeri akan terus bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh agar hasrat murni itu tercapai.

DHPP yang dulu dikenali sebagai Kelab Penyokong PAS dilancarkan Mei lalu berjaya mengumpulkan lebih 20,000 ahli sejak ditubuhkan pada tahun 2000. Malah Perak merupakan negeri terawal dalam menubuhkan kelab penyokong bukan Islam ini.

Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Mustafa Ali akan merasmikan DHPP Perak dan dijangka seramai 500 ahli akan hadir.

Menurut Misbahul Munir, mesyuara agung pertama DHPP Perak akan diadakan pada tahun hadapan dan ahli-ahli akan memilih sendiri jawatankuasanya.

"Sempena pelancaran itu juga akan diumumkan senarai Ahli Jawatankuasa DHPP negeri oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Abu Bakar Hussein," katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi oleh FMT hari ini, Drs Khalil Idham Lim Abdullah berkata, metos yang menyatakan PAS tidak mendapat sokongan bukan Islam adalah karut semata-mata.

"Penubuhan DHPP Perak ini membuktikan PAS telah mendapat tempat di hati, bukan sahaja di kalangan para pejuang Islam tetapi dari kalangan bukan Islam, walaupun mereka belum benar-benar memahami ajaran Islam," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong itu.

Tiada ulasan: