Sabtu, 10 Julai 2010

DEMA Ajak Mahasiswa Berganding Bahu Hapuskan AUKU

Oleh Frederick Luccas

SHAH ALAM - Penyelaras Kempen "Seorang Seringgit Untuk Menyokong Sook Hwa" anjuran Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), Khaw Seng Hean mengajak golongan mahasiswa diseluruh negara berganding bahu dalam usaha untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej universiti 1971 yang dianggap zalim dan mengekang kebebasan bersuara dan berpolitik penuntut universiti.

"Kita berpendapat mencabar AUKU yang bercanggah dengan Perlembagaan bukanlah perjuangan seorang individu sahaja. Oleh itu, DEMA berharap selain mendapatkan sumbangan yang diperlukan, kesedaran juga dapat diberi kepada orang ramai bahawa AUKU sebenarnya menyekat kebebasan mahasiswa secara keseluruhannya.

"Kita juga berharap agar lebih ramai mahasiswa akan mencontohi semangat Sook Hwa dalam usaha memansuhkan AUKU. Walaupun permohonan Sooh Hwa telah ditolak, tetapi ini bukanlah penamatnya, malah merupakan satu pemulaan. Hanya dengan memansuhkan AUKU yang zalim, autonomi universiti dan kebebasan akademik dapat dipulihkan semula," tegas Seng Hean.

Sehubungan itu beliau berkata sasaran RM3,000 yang diperlukan untuk menampung kos mahkamah Sook Hwa dalam perjuangannya mencabar AUKU berjaya mencapai sasaran.

Kempen tersebut bagi membantu Soh Sook Hwa, seorang pelajar tahun terahkir di Universiti Sains Malaysia yang dibuang universiti atas alasan menyertai kempen parti pembangkang pada pilihan raya umum Mac 2004.

Sook Hwa telah memfailkan permohonan untuk ulasan judisial bahawa AUKU bercanggah dengan Perlembagaan Negara.

Pada 4 Jun 2010, permohonan ulasan judisial telah ditolak oleh mahkamah atas alasan seksyen yang menjadi rujukan telahpun dipinda dan Sook Hwa terpaksa membayar kos mahkamah sebanyak RM3,000 dalam tempoh 30 hari.

"Selain mendapat sumbangan daripada orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memberi sokongan yang menggalakkan kepada kempen tersebut. DEMA juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua lapisan masyarakat yang menjayakan kempen ini dan DEMA akan menyalurkan sumbangan ini sebagai sokongan terhadap usaha pemansuhan AUKU pada masa akan datang," kata Seng Hean.

Tambah beliau, kempen membantu Sook Hwa telah dimulakan di seluruh negara dari 14 Jun hingga 1 Julai lalu, di mana sumbangan orang ramai disalurkan melalui bank, atau kotak derma yang disediakan oleh DEMA di forum, jamuan, dan pasar malam di beberapa lokasi seluruh negara.

"Untuk menggalakkan keterbukaan dan akauntabiliti dalam pengurusan sumbangan yang diterima, DEMA akan mengumumkan jumlah sumbangan dalam masa yang terdekat dan sebab kelewatan pemgumuman jumlah derma ialah kerana pihak bank memerlukan tempoh dua hari bekerja untuk merumus transaksi kewangan.

Walau bagaimanapun, anggaran awal daripada sumbangan yang diterima menunjukkan bahawa sasaran sebanyak RM3,000 ribu telah dicapai sepanjang kempen tersebut.

"Orang ramai boleh mendapatkan berita pengumuman jumlah sumbangan dan berita lain berkenaan DEMA dalam blog demamalaysia.wordpress.com," jelas beliau.

Menurut Seng Hean, DEMA akan menyampaikan sumbangan terdebut kepada Sook Hwa dan bakinya akan diurus oleh DEMA untuk kegunaan masa depan, dan kegunaannya akan dipantau oleh NGO bagi mencerminkan ketelusan DEMA.

Tiada ulasan: