Rabu, 21 Julai 2010

Dedah hasil siasatan insiden Kuala Dipang

Harakahdaily

GOPENG: Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu mendedakan kepada orang ramai hasil siasatan berhubung insiden jambatan runtuh yang mengorbankan tiga pelajar yang menyertai Kem 1Malaysia di Kuala Dipang pada 26 Oktober tahun lalu.

Adun Tronoh, V Sivakumar berkata, Kementerian Pelajaran seharusnya lebih telus dalam soal itu kerana kejadian telah meragut tiga nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Pendedahan ini akan menghalang kejadian seperti ini supaya tidak berulang sekali lagi,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Dalam insiden itu, tiga murid sekolah rendah telah mati lemas akibat keruntuhan sebuah jambatan gantung di situ, Divyasri (12 tahun), Dina Devi (11) dan Devatharshini (11).

Mereka menghadiri program Kem 1Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran.

Ekoran itu, kata Sivakumar, Pakatan Rakyat Perak telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyiasat dan melaporkan insiden jambatan runtuh itu yang diketuai beliau dan ahli-ahlinya ialah Chang Lih Kang (Adun Teja), Thomas Su (Pasir Pinji) dan Drs Khalil Idham Lim (Titi Serong).

“Jawatankuasa tersebut telah melaksanakan siasatan dengan sempurna dan telah melaporkan hasil siasatannya kepada orang ramai.

“Pada masa yang sama YB Sivanesan (Sungkai) sebagai seorang peguam telah memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Ipoh mewakili keluarga mangsa,” ujarnya.

Katanya, Jawatankuasa Siasatan Jambatan Kuala Dipang Pakatan Rakyat telah mendedahkan punca-punca keruntuhan jambatan itu dengan jawapan teknikal yang dibantu oleh jurutera pakar, juru ukur tanah bertauliah dan pakar-pakar yang lain.

Kementerian Pelajaran juga, katanya telah melantik satu jawatankuasa untuk menyiasat kejadian itu bagi pihak kerajaan di mana jawatankuasa itu juga telah menyiapkan hasil siasatan tetapi tidak didedahkan untuk makluman orang ramai.

Tambahnya, pada 6 Julai, rombongan Jawatankuasa Kuala Dipang Pakatan Rakyat bersama-sama dengan keluarga mangsa telah pergi ke Parlimen untuk bertemu dengan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Jelasnya, perbincangan telah diadakan selama satu jam di bilik Ka Siong di Parlimen yang mana dua perkara ditimbulkan iaitu meminta supaya Kementerian Pelajaran mendedahkan hasil siasatan jambatan runtuh tersebut kepada orang ramai secepat yang mungkin dan indakan diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat tanpa tolak-ansur.

Katanya lagi, didapati juga sekolah-sekolah di seluruh Malaysia telah mengutip sumbangan derma untuk keluarga mangsa tetapi keluarga mangsa tidak menerima apa-apa dana daripada pihak sekolah mahupun kementerian hasil kutipan sumbangan tersebut.

Justeru, ujarnya pihak jawatankuasa meminta timbalan menteri menyiasat hal itu dan menyerahkan sumbangan yang dikutip kepada keluarga mangsa secepat yang mungkin.

Selepas itu, katanya dalam tempoh dua minggu keluarga mangsa menerima satu surat jemputan daripada SK Tamil Mambang Diawan untuk menghadiri satu majlis di sekolah pada 16 Julai di mana Timbalan Pengarah PPD Kampar telah menyerahkan cek berjumlah RM25,312.55 kepada setiap keluarga yang merupakan sumbangan yang dikutip daripada sekolah-sekolah di seluruh Perak yang berjumlah RM75,937.65.

“Ini merupakan sumbangan yang dikutip di sekolah-sekolah di Negeri Perak. Jika sekiranya sumbangan sedemikian ada juga dikutip di tempat-tempat lain, sumbangan itu harus disalurkan kepada keluarga mangsa secepat yang mungkin.

“Walau bagaimanapun, kerajaan masih tidak terlepas daripada tanggungjawab. Laporan siasatan Kementerian Pelajaran harus didedahkan kepada orang ramai,” ujarnya.

Beliau menambah, itulah matlamat dan permintaan ibu bapa mangsa yang masih tidak keluar daripada trauma kehilangan anak kesayangan mereka yang mahu mengetahui kebenaran dalam kejadian yang buruk itu.

Kerajaan, katanya harus mengaku bersalah kerana melancarkan kem 1Malaysia tanpa perancangan yang rapi dan mengabaikan keselamatan kanak-kanak sekolah.

Salah seorang bapa mangsa, ujarnya meminta pihak media melaporkan fakta-fakta yang benar mengenai kes tersebut supaya tidak disongsangkan atau memudaratkan mereka.

“Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa adhoc Pakatan Rakyat yang membantu dalam hal ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: