Selasa, 6 Julai 2010

CPO Terengganu: Peguam Negara arah inkues kes bunuh jururawat

BERNAMA

KUALA TERENGGANU – Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata satu inkues akan diadakan dalam tempoh terdekat berhubung kes bunuh seorang jururawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) lima tahun lepas.

Beliau berkata inkues itu dibuat selepas mendapat pandangan dan arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya yang meneliti kertas siasatan kes tersebut.

“Semasa inkues itu nanti ramai saksi akan dipanggil termasuk keluarga mangsa, rakan sepejabatnya serta enam orang yang pernah ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bilik media Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini yang antara lain memetik keluarga Norhayati Awang sebagai mendakwa polis telah menutup kes pembunuhan jururawat itu.

Menyangkal dakwaan tersebut, Mohd Shukri berkata pihaknya tidak pernah berbuat demikian, malah telah menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji semula siasatan kes itu.

“Polis telah melakukan siasatan sebaik mungkin mengikut peruntukan undang-undang,” kata beliau.

Katanya sepanjang siasatan kes itu polis telah menahan reman enam orang berdasarkan maklumat yang diberikan oleh keluarga dan orang awam, namun tidak ada bukti kukuh untuk mengaitkan mereka dengan pembunuhan tersebut.

Dalam kejadian pada 13 Ogos 2005 lepas, Norhayati, 29, ditemui mati dalam keadaan ngeri dengan lehernya dikelar dan ditikam berkali-kali selepas dipercayai bergaduh dengan kenalan lelakinya di pekarangan hospital berkenaan.

Mayatnya yang berlumuran darah ditemui di tempat duduk sebelah pemandu kereta Perodua Kancil pada pukul 9 malam.

Sementara itu, mengulas mengenai bilik media tersebut, Mohd Shukri berkata ianya bertujuan memberi keselesaaan kepada petugas media yang datang membuat liputan di IPK selain melambangkan hubungan erat antara media dan polis.

Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan media agar membuat laporan yang seimbang berkenaan tugas polis agar masyarakat lebih menghormati pasukan itu dan tidak hanya tertumpu kepada isu-isu sensasi.

Tiada ulasan: