Sabtu, 3 Julai 2010

BN TAMBAH KAWASAN DUN MENGKABONG?

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

PENAMBAHAN kawasan Pilihanraya di Tuaran termasuklah untuk mewujudkan satu lagi Kawasan Dewan Undangan Negeri Mengkabong akan dapat memberikan peluang kepada ramai pemimpin muda yang mempunyai potensi untuk menjadi wakil rakyat.

Kerajaan dirayu agar mempertimbangkan tambahan kawasan pilihanraya itu kerana ia amat perlu berdasarkan kepada pertambahan penduduk di daerah ini, terutama kepada penduduk yang baru mendiami beberapa buah perumahan seperti di Telipok Ria dan Seri Rugading.

Ketua Penerangan Umno Bahagian Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih menyatakan, Datuk Haji Hajiji Haji Noor yang berucap ketika mengulung perbahasan para perwakilan dalam Persidangan Umno Bahagian Tuaran pada Ahad lepas menyokong saranan serta permintaan seorang perwakilan, Omarkhan Amirussin yang mengusulkan kepada kerajaan agar tambahan Kawasan Pilihan Raya di Tuaran dapat dipertimbangkan.

Kata Ghulabdin, Hajiji yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah memberi pengakuan akan mengemukakan beberapa usul dan pandangan khususnya mengenai permintaan untuk menambahkan Kawasan Pilihanraya Dewan Undangan Negeri Mengkabong yang dikemukakan semasa persidangan itu untuk tindakan kerajaan selanjutnya.

Beliau yang menyatakan bahawa perbahasan pada persidangan tahun ini amat menarik, kerana para perwakilan yang mewakili ahli akar umbi dari cawangan telah diberikan peluang lebih terbuka untuk mengambil bahagian dengan menyatakan pelbagai pandangan dan cadangan untuk memperkukuhkan kekuatan Umno dan Barisan Nasional (BN) di kawasan tersebut.

"Hajiji yang juga merupakan Wakil Rakyat Kawasan Sulaman menyatakan tertarik dengan usul yang dibawa oleh Ketua Cawangan Umno Pulau Tengah, Marsah Muyong yang mencadangkan agar Had Tempoh Perkhidmatan seluruh Wakil Rakyat Barisan Nasional yang terpilih ditetapkan tempohnya selama 3 penggal iaitu 15 tahun sahaja. Memandangkan cadangan itu memerlukan kajian teknikal yang terperinci maka beliau menyatakan akan mengemukakannya kepada pihak berkenaan untuk memperhalusinya," kata Ghulabdin memberitahu yang usul itu bukan merupakan ketetapan tetapi sekadar satu cadangan.

Sejajar dengan pelbagai pandangan dan kupasan untuk memperkukuhkan UMNO di kawasan tersebut yang telah disampaikan oleh para perwakilan ketika mengambil bahagian, maka pengurusan parti akan cuba mengambil perhatian dan tindakan wajar untuk memenuhi mana-mana saranan tersebut yang bersesuaian, kata Ghulabdin yang juga bekas Ketua Daerah Mengundi Batangan dalam Kawasan Pilihanraya Parlimen Tuaran.

Beliau bagi pihak Hajiji, secara langsung menyatakan penghargaan kepada semua pimpinan bahagian, ketua cawangan, perwakilan dan penyokong UMNO yang telah terlibat menjayakan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran sekaligus mengharapkan agar semua barisan kepimpinan samada di bahagian dan cawangan melaksanakan tanggungjawab kearah memantapkan perjuangan Umno demi bangsa, agama dan negara.


Tiada ulasan: